Militan wanita warga Perancis dihukum penjara 30 tahun


Lima anggota militan wanita dijatuhkan hukuman penjara berhubung percubaan meletupkan bom kereta di luar gereja Notre-Dame, Paris pada 2016. – Gambar AFP, 15 Oktober, 2019.

MAHKAMAH Perancis menjatuhkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun terhadap lima anggota militan wanita berhubung percubaan meletupkan bom kereta di luar gereja Notre-Dame di Paris.

Kes itu adalah yang pertama melibatkan sekumpulan wanita yang cuba melakukan serangan di Perancis, yang berulang kali dijadikan sasara pihak militan sejak 2015, mengakibatkan kehilangan 255 nyawa.

Lima wanita berusia 22 hingga 42 tahun itu ditahan selepas sebuah kereta yang dipenuhi silinder gas ditemui di kawasan berhampiran gereja di tengah ibu kota pada 4 November 2016.

Dua defendan utama, Ines Madani dan Ornella Gilligmann, menyimbah kereta dengan diesel pada tengah malam dan cuba menyalakan api dengan puntung rokok tetapi gagal.

Mereka dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 25 tahun penjara.

Kesemua wanita itu dipercayai bertindak atas arahan Rachid Kassim, seorang propagandis kumpulan militan Islamic State (IS) Perancis yang juga disyaki mengarahkan pembunuhan pasangan anggota polis Perancis di rumah mereka pada Jun 2016.

Kassim dipercayai terbunuh dalam serangan udara berhampiran bandar Iraq Mosul pada Februari 2017.

Madani, 22, ditahan beberapa hari selepas serangan gagal di pinggir bandar Paris bersama dua defendan lain, Sarah Hervouet dan Amel Sakaou, yang masing-masing dihukum 20 tahun.

Wanita kelima, Samia Chalel, juga dibicarakan kerana didakwa membantu menyembunyikan Madani. Beliau dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun.

Madani memberitahu mahkamah semalam beliau menyesali tindakannya.

“Pada masa itu semua rancangan saya melibatkan kematian. Hari ini, rancangan saya adalah mengenai kehidupan,” katanya.

Gilligmann, seorang isteri dan ibu kepada tiga anak bercakap dengan emosi mengenai  tindakannya yang memalukan keluarga dan meminta pengampunan dari mangsa keganasan.

Peguamnya berhujah beliau bertindak demikian kerana cinta terhadap seorang lelaki militan tidak wujud bernama Abou Junayd, yang menjadi punca beliau meninggalkan suaminya. – AFP, 15 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen