
REAKSI majikan di Sarawak bercampur-campur mengenai program #WatanKerja (Locals@Work) yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2020 pada Jumaat lalu, memandangkan sektor perladangan di negeri itu sangat bergantung kepada pekerja Indonesia.
Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Bahagian Sarawak, Andrew Lo berkata pada ketika ini mereka mengambil pendirian berhati-hati terhadap pengumuman menteri kewangan itu.
“Saya tiada maklumat terperinci tentang bagaimana ia akan berfungsi. Selagi belum tengok butirannya, saya tak boleh beri sebarang pendapat yang bernas,” kata Lo kepada The Malaysian Insight.
Program #WatanKerja adalah antara empat program di bawah inisiatif #MalaysiaKerja (Malaysians@Work) dan bertujuan untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan serta mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.
Di bawah program ini, rakyat tempatan yang diambil bekerja bagi menggantikan pekerja asing akan dibayar upah sama ada RM350 atau RM500 sebulan selama dua tahun mengikut sektor.
Manakala majikan pula akan menerima insentif pengambilan sebanyak RM250 sebulan bagi tempoh yang sama.
Putrajaya menjangkakan inisiatif #MalaysiaKerja akan menelan kos RM6.5 bilion dalam tempoh lima tahun dan akan menyediakan 350,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Ia juga mengurangkan kebergantungan terhadap 130,000 pekerja asing.
Lo berkata program #WatanKerja perlulah secara one-off iaitu satu program jangka pendek dan mesti dilaksanakan dalam tempoh maksimum dua tahun.
“Maksimum dua tahun. Ini guna duit pembayar cukai. Kenapa guna duit pembayar cukai untuk beri subsidi kepada majikan?” soal beliau.
Katanya, jika program itu dilaksanakan secara berterusan, ia akan kurang menggalakkan majikan untuk memodenkan tanaman mereka melalui teknologi tinggi yang kurang memerlukan tenaga buruh.
“Untuk apa kalau tenaga buruh lebih murah?”.
Lo memberi contoh, sektor perladangan di Sarawak yang bergantung penuh kepada pekerja Indonesia membayar upah bermula RM1,000.

Di bawah program #WatanKerja, majikan yang mengupah pekerja tempatan akan diberi subsidi RM250 bagi setiap pekerja oleh kerajaan.
Ini akan menyebabkan majikan cenderung untuk memilih program yang lebih memberi untung kepada mereka.
Bagi Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan, beliau tidak melihat program ini akan memberi sebarang kesan kepada anak muda tempatan di Sarawak untuk bekerja di ladang.
“Tetap susah juga.
“Ini juga akan mewujudkan budaya dan penetapan minda baharu,” kata Samsuddin, merujuk kepada belia masyarakat Dayak yang lebih memilih untuk bekerja dalam industri minyak dan gas.
Ibu bapa yang pernah bekerja dalam sektor perladangan juga mahu anak mereka memperoleh kerja yang lebih baik, katanya.
Menurut Samsuddin, sukar untuk menggalakkan belia di pedalaman Sarawak bekerja di ladang melainkan majikan memodenkan perladangan mereka kerana kerja-kerja kotor dan sukar lebih sedia dilakukan oleh pekerja Indonesia.
“Industri perlu melabur dalam jentera supaya rakyat tempatan berminat untuk bekerja.
“Isu gaji memang sudah jelas, tetapi itu bukan satu-satunya sebab kenapa mereka tak mahu bekerja di ladang,” katanya. – 16 Oktober, 2019.
Komen