PENDUDUK Kampong Bharu mahu membangunkan sendiri kawasan petempatan Melayu di Kuala Lumpur mengikut acuan mereka sendiri, bagi memastikan legasi mereka kekal di tanah itu.
Rancangan kerajaan untuk pembangunan tanah Kampong Bharu setakat ini hanya mementingkan aspek fizikal tanpa mengambil kira faktor sosial penduduk, selain pemilik kehilangan harta mereka itu, kata Setiausaha Pertubuhan Pemilik Tanah dan Waris Tanah Kampung Bharu (Pewaris) Zainudin Ismail.
Pewaris bagaimanapun katanya, memerlukan kerajaan untuk menjadi penjamin kepada pinjaman mudah yang akan diberikan kepada pemilik sebagai modal untuk membangunkan tanah mereka.
“Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad kata ada dana RM10 bilion untuk beli tanah, daripada guna buat beli tanah lebih baik duit itu dimasukkan dalam satu tabung.
“Pemilik tanah buat pemohonan dan institusi kewangan boleh berikan pinjaman mudah kepada pemilik tanah dengan kerajaan menjadi penjamin,” kata Zainudin, kepada The Malaysian Insight, dalam satu pertemuan di pejabatnya, baru-baru ini.
Melalui model pembangunan yang dirancang, Pewaris berkata hak milik tanah, termasuk unit kediaman dan komersial yang dibangunkan akan dimiliki 100% oleh pemilik dan waris tanah, berbeza dengan rancangan kerajaan yang hanya mahukan pemilik menjual tanah mereka.
“Rancangan pembangunan yang kerajaan cadangkan memerlukan pemilik untuk menjual tanah mereka. Jadi pemilik tidak akan ada tanah lagi, kecuali mereka beli unit yang kerajaan bangunkan.
“Sebaliknya rancangan pembangunan Pewaris akan memastikan tanah kekal menjadi hak milik pemilik tanah dan waris mereka sepanjang hayat, tanpa perlu menjual tanah,” kata Zainudin.
Pelan pembangunan alternatif Pewaris
Antara cadangan Pewaris ialah pemilik tanah diberikan modal untuk membangunkan tanah mereka sendiri, melalui penggabungan beberapa lot kecil.
Kesemua pemilik lot akan membangunkan tanah mereka melalui syarikat bersama, yang mana mereka juga menjadi ahli lembaga pengarahnya.
“Kami gunakan konsep pembangunan mampan dan seimbang. Kita nak pembangunan fizikal dan ummah, sedangkan Khalid hanya nak tengok cantik sahaja, apa nasib orang Kampong Bharu dia tak kisah.
“Mampan bagi kita maksudnya status tanah itu kekal. Kita nak miliki bilangan besar unit. Khalid nak bina 45,000 unit kediaman, kita nak kekal semua untuk kita, anak-anak Kampong Bharu.
“Dengan cara itu, kita akan dapat keuntungannya daripada pembangunan ini, kebajikan terjaga dan pemilikan berterusan, sampai anak cucu,” katanya.
“Sekarang tanah ada, tapi hak milik persendirian. Bila jadi projek ini akan jadi satu tanah besar. Nama berasingan akan masuk satu geran besar. Walaupun buat pembangunan nama masih ada dalam geran.”

Melalui cara itu juga katanya, isu pertindihan nama dalam geran lot tanah akan berjaya diselesaikan.
Konsep pelan pembangunan Kampong Bharu yang dirancang kementerian merangkumi 10 komponen pembangunan utama, antaranya termasuklah Taman Warisan Kampong Baru; Pusat Seni, Persembahan, dan Kebudayaan Melayu; Kompleks Warisan Melayu; dan Residensi “Park View” yang merupakan kediaman eksklusif berhadapan Taman Warisan Kampong Bharu.
Ia turut merangkumi Residensi Wilayah yang memuatkan kawasan perumahan mampu milik; Residensi Sederhana Padat; Residensi Kepadatan Tinggi; Kawasan Pembangunan Bercampur; Koridor Perdagangan yang merangkumi menara, pejabat, dan hotel; serta komponen institusi.
Pelan pembangunan itu turut menggariskan 50% atau 45,000 kediaman yang di bina adalah kediaman mampu milik, berbanding 4,500 kediaman sedia ada sekarang.
Pelan itu antara lain turut mensasarkan penduduk akan bertambah kepada seramai 160,000 orang dengan pembangunan tersebut. Manakala 85 juta kaki persegi ruang lantai dijangka akan dibangunkan.
Bagi rancangan pembangunan itu, ia melibatkan kira-kira 825 lot tanah dengan 5,359 penduduk dijangka terlibat dalam perolehan berkenaan.
Untuk tujuan itu, kerajaan merancang membeli tanah terlibat pada harga RM850 kaki persegi, harga yang tidak dipersetujui penduduk, kata Zainudin.
Pelan konsep pembangunan itu juga akan memperuntukkan 28 ekar sebagai kawasan Taman Warisan dan 10% daripada 9 juta kaki persegi ruang lantai pembangunan komersial diperuntukkan kepada komersial mampu milik.
Zainudin berkata, berbeza dengan pelan pembangunan Pewaris, kewujudan kawasan hijau akan merugikan pemilik tanah.
“Beliau (Khalid) kata tanah mahal, tapi kawasan hijau dia letak 28 ekar, kami tidak akan ikut itu,” kata Zainudin.
Pembangunan dirancang anak jati Kampong Bharu
Dalam rancangan pembangunan Pewaris, proses pembangunan akan dilaksanakan sendiri anak-anak Kampong Bharu yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang masing-masing.
Unit kediaman dan komersial yang dibangunkan pula kata Zainudin kemudiannya akan dijual kepada waris-waris pemilik tanah yang dibangunkan.
Melalui cara itu, pihaknya berpendapat, pembangunan Kampong Bharu bukan sahaja akan berlaku dari aspek fizikal, tetapi juga dari aspek sosial.
“Kekayaan Kampong Bharu hendaklah dikembalikan kepada pewaris, dengan ini boleh membasmi kemiskinan bandar, bukan semua orang senang di sini.
“Apa sahaja kekayaan kita boleh dapat di Kampong Bharu kita beri balik kepada penduduk Kampong Bharu.
“Hala tuju kami pemilik tanah, dengan kerajaan sama, majukan tanah, tapi kerajaan nak beli tanah, objektif kami dengan kerajaan sama, nak perbaiki situasi kehidupan, kekal hartanah milik Melayu, jadi kita boleh bersama kerajaan, cuma kaedah itu berbeza,” katanya.
Zainudin berkata, sekiranya penduduk bersetuju dengan cadangan kerajaan, mereka akan kehilangan tanah, hilang kampung, dan hilang hak pemilikan tanah mereka.
“Generasi akan datang tiada tempat tinggal dan terpaksa keluar. Tanah jadi milik kerajaan untuk mereka bangunkan, walaupun rancangannya akan diberikan kepada Melayu, tetapi bukan orang Kampong Bharu,” katanya.

Pembangunan mesra ummah, bukan kapitalis
Model pembangunan Pewaris kata Zainudin dipanggil mesra ummah, berbanding konsep kapitalis yang hanya mementingkan keuntungan.
“Berbanding konsep kapitalis, mereka tidak peduli anak-anak cucu kita. Konsep kita anak cucu semua duduk dalam tanah itu. Pemilik strata itu anak cucu kita.
“Kelebihannya akan kurangnya berlaku masalah sosial. Bila semua bersaudara kita akan dapat kembalikan suasana komuiti kampung di bandar, kebajikan keluarga akan lebih terpelihara,” katanya.
“Kita buat usaha bersama, pemilik menang, kerajaan menang, pemaju pun menang.”
Zainudin berkata, konsep pembangunan itu juga akan mewujudkan rantaian bekalan dan kediaman mampan untuk pewaris.
“Asas model ini nakkan kekayaan Kampong Bharu untuk orang Kampong Bharu. Apa sahaja yang kita boleh usahakan untuk pulangan kekayaan diberikan semula kepada pendduk.
“Kia akan wujudkan pembeli, dan bekalan rumah, yang akan beli unit-unit itu adalah anak-anak cucu kita. Tak perlu tunggu orang luar beli,” katanya, lagi.
Selain itu, rancangan Pewaris juga merangkumi 100 ekar kawasan meletakkan kenderaan bawah tanah, bagi mengatasi isu kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar Kampong Bharu.
“Bia kami memiliki tanah itu sendiri kami akan kawal dari awal mula projek sehingga selesai,” katanya. – 16 Oktober, 2019
Komen