PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyelar satu video memaparkan imej palsu beliau sedang menembak dan menikam anggota media dan seteru politik yang ditunjukkan pada satu perhimpunan bersama penyokongnya di Florida, kata Rumah Putih.
Dalam video yang disunting dari satu babak dalam filem “Kingsman: The Secret Service” keluaran 2014, imej kepala Trump di tampal pada badan seorang lelaki sedang melepaskan tembakan dalam gereja “Church of Fake News”.
Manakala wajah mangsa dalam video pula ditampal dengan logo rangkaian berita termasuk CNN, The Washington Post, BBC serta rangkaian televisyen ABC, CBS dan NBC.
Video itu memaparkan “Trump” menyerang mendiang senator John McCain dan membakar kepala Senator Bernie Sanders.
Watak itu juga menghempas tubuh Senator Mitt Romney dari Republikan ke lantai dan menolak bekas presiden Barack Obama ke dinding.
The New York Times melaporkan anak lelaki Trump, Donald Trump Jr.; bekas jurucakap presiden itu, Sarah Sanders dan Gabenor Florida Ron DeSantis antara yang jadualkan berucap pada acara “American Priority” yang diadakan pada minggu lepas.
Penganjur acara berkata mereka sedang menyiasat perkara itu.
“American Priority menolak segala bentuk keganasan politik dan acara yang dianjurkan bertujuan untuk menggalakkan perbincangan sihat mengenai kebebasan bersuara,” kata penganjur, Alex Phillips kepada New York Times. – AFP, 15 Oktober, 2019.
Komen