Pembangunan Sabah, Sarawak tak perlu bergantung kepada Putrajaya, kata Abang Johari


Jason Santos

Sabah dan Sarawak boleh menjana dana projek sendiri dalam kerangka perlembagaan, kata Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 14 Oktober, 2019.

NEGERI Borneo tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada Putrajaya untuk dana pembangunan, kata Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg malam ini.

Katanya, mengikut perlembagaan, Sabah dan Sarawak boleh menjana dana projek sendiri. 

“Sabah dan Sarawak sudah berubah disebabkan kemajuan ekonomi dan kerana itu, kita juga perlu mengubah cara kita buat sesuatu perkara.

“Kita ada persekutuan, dan cara kita menguruskan ekonomi dan budaya kita juga perlu berubah mengikut hak istimewa negeri mengikut perlembagaan,” katanya pada sebuah majlis makan malam sempena lawatannya ke Sabah di Kota Kinabalu malam ini.

Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal dan ahli Jemaah Menteri Sabah dan Sarawak.

Abang Johari berkata Sarawak sudah memutuskan ia tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada Putrajaya untuk membantunya menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Tambahnya, beliau menjangkakan Sarawak akan menggunakan dananya sendiri di bawah pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025 untuk membina jalan raya, jambatan, jalan pesisir pantai dan pelabuhan.

Infrastruktur seperti pelabuhan berada dalam Senarai Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan, dengan hasil perolehan akan diberikan kepada kerajaan negeri, katanya lagi.

Abang Johari juga mencadangkan Sabah dan Sarawak menubuhkan syarikat penerbangan bersama untuk meningkatkan perhubungan dan merangsang pelancongan di negeri itu.

Beliau turut mencadangkan projek jana kuasa bersama Borneo dengan Sabah dan kemungkinan Indonesia, berkata pentadbirannya dalam perbincangan dengan kerajaan Indonesia untuk meneroka idea penubuhan sebuah syarikat tenaga.

Syarikat itu membolehkan entiti negeri seperti Sarawak Energy menjual bekalan elektrik merentas sempadan ke Kalimantan.

Malah katanya, tidak mustahil pada masa akan datang Borneo akan mempunyai perkhidmatan Transit Rapid Massa (MRT) sendiri yang boleh menghubungkan Kuching, Pontianak di Kalimatan, Kota Kinabalu dan Brunei.

“Orang kata mimpi hanyalah mimpi, tetapi siapa tahu satu hari nanti jadi realiti,” katanya. – 14 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen