Sarawak besar, berhak dapat lebih peruntukan, kata ketua menteri


Jason Santos

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata Sarawak tidak boleh dibandingkan dengan negeri lain di Semenanjung kerana mereka mempunyai keperluan infrastruktur lebih besar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 14 Oktober, 2019.

SAIZ tanah dan jumlah pendapatan yang diperoleh Putrajaya dari sumber semula jadi Sarawak tidak sepadan dengan peruntukan daripada kerajaan persekutuan di bawah Bajet 2020, kata Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg.

Menurutnya, Sarawak tidak boleh dibandingkan dengan negeri lain di Semenanjung kerana mereka mempunyai keperluan infrastruktur lebih besar dan meliputi kawasan yang luas.

“Jika kita mengkaji saiz Sarawak dan sumber yang diberikan kepada Putrajaya, pasti kita tak berpuas hati dengan peruntukan berkenaan. Kita tidak boleh dibandingkan dengan negeri kecil seperti Perlis atau Melaka.

“Jika negeri lebih besar, pastinya wang yang banyak lebih diperlukan untuk infrastruktur,” katanya semasa lawatan ke Kota Kinabalu hari ini.

Abang Johari berada di Sabah untuk melawat Mohd Shafie Apdal susulan lawatan Ketua Menteri Sabah itu ke Sarawak baru-baru ini.

Abang Johari berkata Putrajaya perlu mengagihkan dana berdasarkan saiz negeri dan sumbangannya kepada tabung negara.

Di bawah Bajet 2020, Sarawak dan Sabah bersama-sama menerima 17.1% daripada bajet pembangunan RM56 bilion manakala yang lain untuk Semenanjung Malaysia.

Ini membolehkan Sabah mendapat RM53.4 juta manakala RM34 juta untuk Sarawak.

Sarawak mempunyai rizab gas terbesar di negara ini sebanyak 56% dan rizab minyak kedua terbesar pada 34%. – 14 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen