Sabah dan Sarawak gesa Putrajaya dedah ‘formula’ pemberian khas


Jason Santos

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg (kiri) dan Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal (kanan) mahu Putrajaya mendedahkan formula pengiraan pemberian peruntukan persekutuan kepada negeri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 14 Oktober, 2019.

KETUA menteri Sabah dan Sarawak mengalu-alukan jumlah peruntukan pemberian khas di bawah Belanjawan 2020, tetapi mahu Putrajaya mendedahkan formula pengiraan jumlah itu.

Kedua-dua ketua menteri berkata walaupun mereka membangkitkan isu pemberian khas untuk Sabah dan Sarawak dalam Jawatankuasa Negeri-Persekutuan yang sedang meneliti semula Perjanjian Malaysia, kerana tiada “formula” didedahkan. 

Dalam Belanjawan 2020 dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Jumaat, beliau mengumumkan pemberian khas seperti termaktub dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dengan RM53.4 juta (Sabah) dan RM34 juta untuk Sarawak.

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal berkata: “Kami berterima kasih dengan pemberian khas ini walaupun jumlahnya tidak seperti yang diharapkan.

“Formula (penentuan jumlah) kami tak tahu. Kami tak tahu formula apa mereka guna bila mereka berikan kami wang itu,” katanya.

Manakala, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata beliau juga tidak jelas tentang formula pemberian itu, menambah yang Sarawak mahu Putrajaya menggunakan “formula yang betul”.

“Kami mahu formula betul di mana boleh dikira berapa banyak Putrajaya perlu beri. Ia tak boleh jadi perkara sekali harung sahaja.

“Jadi bila ada peningkatan dalam pendapatan persekutuan, Putrajaya perlu keluarkan formula, begitu juga ada formula bila pendapatan berkurangan,” katanya.

Jelas Abang Johari lagi, kesepakatan isu itu perlu berdasarkan “susah sama susah, senang sama senang”.

“Tetapi, kami tak mahu mereka lupa Sabah dan Sarawak bila mereka gembira. Itu yang kami takutkan,” katanya.

Sarawak memilih pemberian berdasarkan perolehan bersih sementara Sabah memilih 40% perolehan pendapatan seperti termaktub dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Ketika pentadbiran Barisan Nasional, Sabah hanya diberi RM26.7 juta sementara Sarawak hanya mendapat RM16 juta setahun.

Di bawah Pakatan Harapan, jumlah itu bertambah dua kali ganda dengan RM106.8 juta untuk Sabah dan RM64 juta untuk Sarawak dalam tempoh lima tahun.

Dalam perkembangan lain, Shafie juga menegaskan yang isu pembayaran royalti minyak akan bergantung kepada hasil perbincangan antara mereka dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – 14 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen