Skandal sekolah elit anak, menteri Korea Selatan letak jawatan


Menteri Kehakiman Korea Selatan Cho Kuk meletak jawatan selepas terbongkar saudara mara dan keluarganya menerima manfaat hasil hubungan keluarga dan anaknya belajar di sekolah elit. – Gambar AFP, 14 Oktober, 2019.

MENTERI Kehakiman Korea Selatan Cho Kuk meletak jawatan hari ini ketika skandal kelebihan pendidikan diberikan kepada anaknya semakin hangat.

Ratusan penunjuk perasaan turun ke jalanan baru-baru ini- untuk membantah dan menyokong bekas profesor undang-undang itu- susulan pelantikannya oleh Presiden Moon Jae-in.

Saudara mara Cho jadi tumpuan siasatan melibatkan kelebihan pendidikan didakwa diberikan kepada anak-anaknya, dan juga pelaburan meragukan dalam dana ekuiti.

Isteri Cho, Chung Kyung-sim, seorang profesor universiti sudah didakwa kerana dituduh memalsukan anugerah kolej untuk anak perempuan mereka, perbicaraan dijadualkan bermula Jumaat.

Dua lagi anaknya turut disoal siasat pendakwa raya.

Penyokongnya berkata keluarga Cho secara salah didakwa pendakwa raya kerana janjinya mahu melakukan pembaharuan ke atas agensi siasatan berpengaruh itu.

Presiden Moon menerima peletakan jawatan Cho dan memohon maaf kerana kekecohan yang timbul disebabkan pelantikan itu.

Cho dituduh hipokrit apabila terdedah beliau menghantar anak perempuannya ke sekolah elit, dan dikatakan menerima manfaat daripada hubungan kekeluargaan.

Penganalisis berkata skandal itu membongkar masalah kelas di Korea Selatan, kuasa besar ekonomi ke-11 dunia.

Cho hari ini juga dilaporkan memohon maaf kerana mengecewakan golongan muda. – AFP, 14 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen