Rusia dan Arab Saudi dijangka meterai perjanjian bernilai AS$700 juta


Presiden Rusia Vladimir Putin dijangka melawat Arab Saudi hari ini bagi memeterai perjanjian mengenai pajakan pesawat bernilai US$ 700 juta. – Gambar EPA, 14 Oktober, 2019.

RUSIA dan Arab Saudi dijangka memeterai perjanjian mengenai pajakan pesawat bernilai US$ 700 juta, semasa kunjungan Presiden Rusia Vladimir Putin ke Arab Saudi hari ini, lapor agensi berita Sputnik.

Ketua Pegawai Eksekutif Dana Pelaburan Langsung Rusia (RDIF) Kirill Dmitriev berkata satu daripada perjanjian yang akan ditandatangani semasa lawatan itu, bernilai US$700 juta tanpa memberikan butiran lanjut.

“(Akan ada perjanjian) berkaitan pajakan pesawat. Perjanjian bernilai US$700 juta…Ini akan menjadi satu tawaran terbesar,” kata Dmitriev kepada pemberita.

Selain itu, mungkin akan terdapat beberapa lagi perjanjian lain mengenai landasan kereta api ditandatangani di Riyadh pada Isnin.

“Terdapat juga perjanjian di bidang petrokimia dengan Sabic (Arab Saudi) bukan Sibur (Rusia),” kata Dmitriev.

Putin dijadual melawat Arab Saudi hari ini.

Menurut penasihat Kremlin, Yury Ushakov, antara agenda lawatan itu termasuk perbincangan dengan pegawai kanan Arab Saudi dengan fokus utama isu Syria, Yaman dan situasi di Teluk Parsi, serta kerjasama dua hala dalam sektor pertahanan dan tenaga. – Bernama, 14 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen