KETUA polis Filipina, yang menerajui operasi membanteras dadah di negara itu, meletak jawatan hari ini ketika berdepan tuduhan melindungi anggota polis yang didakwa menjual dadah hasil rampasan.
Walaupun skandal itu tercetus sebelum Oscar Albayalde menjadi ketua polis negara, ia menjadi kecaman terbaru terhadap Presiden Rodrigo Duterte yang popular dalam kalangan rakyat Filipina kerana kempen anti dadahnya.
Dalam usaha kempen ditaja presiden itu, polis sudah membunuh ratusan orang yang didakwa pengedar dan penagih dadah sejak pertengahan 2016, walaupun pengkritik berkata mereka yang kaya dan berkuasa sebenarnya terlepas daripada tindakan.
Pengunduran Albayalde berlaku beberapa hari selepas dua bekas anggota polis mengaitkannya dengan serbuan pada 2013 di sebuah daerah berhampiran Manila apabila polis merampas dan menjual semua dadah jenis syabu.
Seorang bekas anggota polis menuduh Albayalde melindungi pegawainya daripada tindakan tata tertib manakala seorang lagi mendakwa pegawai tertinggi polis itu menerima wang daripada jualan dadah.
Albayalde ketika itu ketua polis daerah itu menafikan sekerasnya tuduhan itu.
Beliau dijangka bersara pada November selepas menjadi ketua polis sejak April 2018.
Walaupun isu itu semakin hangat beberapa minggu sebelum pendengaran di Senat, Duterte masih berdiam diri.
Beliau berikrar menghapuskan sehingga ke akar umbi korupsi dalam polis Filipina dan berulang kali menyuarakan kekecewaan dengan masalah itu. – AFP, 14 Oktober, 2019.
Komen