Umno akan cabar kompaun SPRM di mahkamah, kata Ahmad Maslan


SM Amin

Tindakan SPRM tidak wajar kerana kes 1MDB dan SRC International masih dibicarakan, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Ahmad Maslan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2019.

UMNO akan memfailkan semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mempertikaikan kompaun yang dikenakan ke atas beberapa pemimpin dan badan parti untuk memulangkan duit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Majlis Tertinggi Umno Ahmad Maslan berkata tindakan agensi anti rasuah itu tidak wajar dengan masih ada dua kes berkaitan 1MDB yang sedang dibicarakan di mahkamah, merujuk kepada pertuduhan ke atas Najib Razak melibatkan SRC International Sdn Bhd dan 1MDB.

“Kes SRC dan 1MDB masih lagi berjalan. Maka pada pandangan kami apa yang dibuat oleh SPRM mempunyai unsur ultra vires, melebihi kuasa. 

“Kenapa SPRM tuduh kami walhal kes itu masih lagi dibicara di mahkamah? Kami terasa dianiaya dengan apa yang berlaku,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat Umno, hari ini.

“Peguam akan memfailkan semakan penghakiman supaya perkara yang prejudis ini akan digantung sehingga dua kes Najib selesai di mahkamah,” tambahnya.

Ahmad adalah antara 80 individu, syarikat, pertubuhan, dan yayasan yang dikenakan kompaun oleh SPRM pada 7 Oktober lalu kerana menerima duit 1MDB.

Selain Ahmad, kompaun dikeluarkan ke atas bekas pengerusi Felda Shahrir Samad; bekas setiausaha politik Najib Razak, Mohamad Fatmi Che Salleh dan bekas ketua Bahagian Umno Pasir Mas Hanafi Mamat, serta beberapa bahagian Umno.

Mereka diberi mana dua minggu untuk membayar denda berkenaan, atau berdepan tindakan mahkamah mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla). – 14 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen