Dr Mahathir puas hati cara polis tangani kes LTTE


SM Amin

Saya berpuashati dengan tindakan dan sebab-sebab mereka mengambil tindakan itu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai kes LTTE. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Oktober, 2019.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad menyokong tindakan polis menggunakan undang-undang pencegahan dalam penahanan 12 suspek yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan penggana Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) minggu lepas.

Tambahnya, beliau juga berpuas hati dengan tindakan polis dalam isu itu.

“Saya dapat briefing dari pihak polis, mereka mempunyai sebab-sebab mereka bertindak.

“Saya berpuashati dengan tindakan dan sebab-sebab mereka mengambil tindakan itu,” katanya kepada wartawan selepas sebuah majlis dihadirinya hari ini.

Minggu lepas, polis menahan 12 suspek termasuk Adun DAP G Saminathan dan P Gunasekaren kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti mempromosi, menyokong, menyalurkan dana dan memiliki bahan terlarang berkaitan LTTE.

Mereka ditahan selama 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Penahanan itu mencetuskan bantahan dan kecaman terutama daripada pemimpin DAP kerana ia dibuat menggunakan Sosma yang membenarkan tahanan tanpa bicara.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay semalam dilaporkan berkata polis akan meneruskan usaha memburu individu yang mempunyai kaitan dengan LTTE tanpa mengira pegangan politik mereka.

Dr Mahathir juga sebelum ini dilaporkan berkata yang pihak polis perlu dibenarkan melakukan tugas mereka dan tangkapan dibuat tidak mensasarkan mana-mana parti politik.

Hari ini, ditanya sama beliau bersetuju dengan Sosma, Dr Mahathir menjawab:

“Sosma masih ada, jadi kerana ketiadaan undang-undang lain yang boleh diguna pakai, mereka (polis) guna Sosma.” – 14 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen