P. RAMASAMY mahu kertas putih mengenai Zakir Naik dan kegiatannya di Malaysia serta beberapa kertas putih lain sekiranya kerajaan mahu membentangkan kertas putih mengenai penglibatan rakyat Malaysia dan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Beliau membuat gesaan itu susulan dakwaan PAS ada pemimpin DAP terlibat cuba menghidupkan gerakan LTTE di Malaysia dan cadangan parti Islam itu agar kerajaan membentangkan kertas putih berkenaan LTTE di negara ini.
“Saya mengalu-alukan kertas putih (berhubung Harimau Tamil) tetapi kita juga perlu ada kertas putih yang sama berhubung 1MDB, jumlah wang 1MDB yang diterima PAS, kepada anggota Islamic State yang kembali ke tanah air dan pendakwah kontroversi Zakir Naik,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.
“Kita perlu tahu siapa yang melindungi Zakir Naik. Kenapa beliau masih dibenarkan berada di sini sedangkan beliau dikaitkan dengan keganasan?
“Saya mahu kertas putih mengenai isu ini dibentangkan di Parlimen,” kata timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu.
Mengenai isu militan IS, beliau berkata kertas putih perlu membincangkan bilangan penduduk tempatan yang berjuang untuk kumpulan pengganas dan berapa ramai yang kembali ke tanah air.
Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, menyeru kerajaan membuat kertas putih mengenai percubaan menghidupkan semula LTTE.
“Memandangkan ini adalah perkara kepentingan awam, PAS menuntut agar kerajaan membentangkan kertas putih mengenai penyebaran ideologi, rangkaian organisasi dan kegiatan mereka yang disyaki terlibat dengan kumpulan LTTE ekstremis di Malaysia, yang juga dikaitkan dengan beberapa ahli politik tempatan,” katanya.
Gesaan itu dibuat susulan penangkapan 12 individu, termasuk Adun DAP G. Saminathan dan P. Gunasekaren, kerana disyaki mempromosikan, menyokong, menyalurkan dana dan memiliki bahan berkaitan LTTE.
PAS juga menggesa penangkapan Ramasamy kerana hubungannya dengan LTTE.
Hari ini, Barisan Nasional berkata menyokong sokongan PAS mengenai kertas putih LTTE.
Terdahulu hari ini, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata partinya menyokong cadangan kertas putih PAS mengenai LTTE tetapi mahu ia merangkumi keseluruhan spektrum masalah keganasan yang dihadapi oleh Malaysia.
Katanya, kertas putih itu juga perlu melihat penambahan Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS) baru-baru ini sebagai kumpulan pengganas oleh empat negara Teluk, Arab Saudi, Mesir, Emiriyah Arab Bersatu dan Bahrain.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata naib presiden IUMS adalah Presiden PAS Abdul Hadi Awang. – 14 Oktober, 2019.
Komen