BN sokong PAS gesa kerajaan bentang kertas putih berhubung LTTE 


Pengerusi BN Ahmad Zahid berkata, kertas putih mengenai LTTE itu memberi peluang untuk perjelaskan kepada masyarakat untuk membanteras keganasan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2019.

BARISAN Nasional menyokong gesaan PAS untuk kerajaan membentangkan Kertas Putih berhubung isu kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eeelam di Parlimen, kata pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau bagaimanapun berkata, gabungan itu masih belum membincangkan perkara berkenaan dengan PAS.  

“Ianya akan menjadi satu langkah yang akan disokong oleh ahli-ahli Parlimen BN jika pihak kerajaan menerima kerana kita mahu memperjelaskan kepada rakyat keperluan langkah keselamatan untuk mengekang gerakan pengganas,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini. 
 
“Kita harus lihat dari aspek keselamatan apa pun bentuk simpati terutamanya dalam bentuk penyaluran dana dianggap sebagai memberi sokongan kepada  kumpulan pengganas ini.”

Semalam Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata kerajaan perlu embentangkan Kertas Putih berhubung usaha menghidupkan semula kumpulan pengganas LTTE di Malaysia.

“Memandangkan kes ini satu perkara berkepentingan awam, PAS mendesak kerajaan membentangkan Kertas Putih di Parlimen mengenai penyebaran ideologi, rangkaian organisasi dan kegiatan pihak yang disyaki terlibat dengan LTTE di Malaysia, yang turut dikaitkan dengan beberapa pemimpin politik tempatan,” katanya.

Gesaan itu dibuat susulan tindakan pihak polis menahan 12 individu termasuk dua Adun DAP G Saminathan dan P Gunasekaren kerana disyaki mempromosikan, menyokong menyalurkan dana dan memiliki bahan berkaitan LTTE. – 14 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen