Pekerja kereta api di Korea Selatan tamatkan mogok 72 jam


Notis pada papan tanda elektronik di Stesen Seoul mengenai penangguhan operasi kereta api susulan mogok pekerja di Seoul, Korea Selatan pada 11 Oktober. – Gambar EPA, 14 Oktober, 2019.

ANGGOTA Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Korea pada Isnin menamatkan mogok mereka yang berlangsung selama 72 jam namun jadual perjalanan pengangkutan itu mungkin terjejas sehingga perkhidmatan disambung semula sepenuhnya pada hari itu, lapor agensi berita Yonhap.

Kesatuan itu, yang mempunyai 19,000 anggota, menamatkan mogok pada pukul 9 pagi.

Mereka menuntut agar Korea Railroad Corp (Korail) menaikkan gaji mereka dan menggaji lebih ramai petugas untuk memendekkan tempoh bekerja semasa.

Korail meramalkan bahawa operasi perkhidmatan keseluruhan mencapai 91.2% daripada operasi normal pada Isnin memandangkan anggota kesatuan kembali bekerja.

Perkhidmatan kereta api bawah tanah Metropolitan dijangka beroperasi pada 99.9% daripada tahap normal manakala KTX dan perkhidmatan kereta api lain akan sedikit lebih terjejas, masing-masing beroperasi pada tahap 80.5 dan 74.4%.

Perkhidmatan kargo dijangka masih terganggu dengan hanya 35.2% perkhidmatan berbanding operasi biasa, menurut Korail.

Syarikat itu berkata perkhidmatan kereta api akan kembali normal pada Isnin dengan KTX mencapai tahap perkhidmatan penuh pada kira-kira pukul 6.30 petang manakala kereta api penumpang lain pada kira-kira pukul 10 malam. – Bernama, 14 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen