HUJAN sepanjang malam sedikit sebanyak membantu anggota bomba mengawal kebakaran hutan yang setakat ini mencatatkan 41 kematian dan memusnahkan ratusan kediaman di Portugal dan empat kawasan di utara Sepanyol.
Agensi pertahanan awam Portugal berkata pada Selasa, 15 kebakaran besar yang melanda kawasan tengah dan utara negara itu, kini dapat dikawal namun angka kematian dilaporkan meningkat.
“Jumlah kematian meningkat dari 37 kepada 41 orang,” kata jurucakap agensi pertahanan awam Patricia Gaspar kepada AFP.
Seluruh negara juga mula berkabung selama tiga hari bagi memperingati mangsa, agensi itu turut berkata 71 orang dilaporkan cedera dalam kebakaran itu, 15 daripada mereka parah. Seorang lagi mangsa dilaporkan masih hilang.
Antara mangsa yang maut adalah bayi berusia sebulan.
“Kebanyakan mangsa terbunuh dalam kenderaan mereka, namun kita turut menemui mangsa yang terperangkap dalam rumah, kata Datuk Bandar Oliveira do Hospital, Jose Carlos Alexandrino bercakap kepada stesen televisyen RTP.
“Seluruh bandar kelihatan seperti bebola api, yang dikelilingi api di serata tempat.”
Perdana Menteri Antonio Costa pada Isnin mengulangi ikrarnya untuk mengelakkan tragedi itu berulang dengan mengadakan “pembaharuan asas” dalam pengurusan hutan dan kebakaran. – AFP, 18 Oktober, 2017.
Komen