MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini mengarahkan bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor untuk membela diri atas dakwaan menerima suapan RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, tiga tahun lepas.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan hari ini membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya dalam mewujudkan prima facie terhadap kes Tengku Adnan, 68.
Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan, 68, sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Tan Sri Chai Kin Kong, 60, melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di Kuala Lumpur pada 14 Jun 2016.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pada 23 Januari lepas, Tengku Adnan, mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya di hadapan Hakim Mohamed Zaini, selepas kesnya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 14 Disember 2018.
Perbicaraan selama 12 hari bermula pada 2 Julai dengan 23 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dan antara saksi tersebut ialah bekas datuk bandar Kuala Lumpur, Ahmad Phesal Talib dan Mohd Amin Nordin Abd Aziz serta Chai.
Tengku Adnan diwakili peguam Tan Hock Chuan manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim. – Bernama, 14 Oktober, 2019.
Komen