Rusia bom 4 hospital di Syria dalam tempoh 12 jam


Salah sebuah hospital di Syria yang mengalami kerosakan dan terpaksa ditutup berikutan daripada serangan udara yang dilancarkan oleh Rusia. – Gambar EPA, 14 Oktober, 2019.

PESAWAT pejuang Rusia mengebom empat hospital di wilayah pemberontak Syria selama 12 jam awal tahun ini, lapor The New York Times pada Ahad.

Serangan pada Mei lalu yang dikaitkan akhbar itu dengan Moscow menerusi rakaman radio Rusia, log pengesan pesawat dan keterangan saksi merupakan sebahagian corak yang membuktikan kemudahan perubatan menjadi sasaran pasukan penyokong Presiden Syria Bashar al-Assad dalam perang saudara negara yang dahsyat.

Hospital Pembedahan Nabad al Hayat menurut kakitangan yang melarikan diri tiga hari lebih awal sebelum serangan bom, merupakan satu daripada hospital yang diserang selama 12 jam bermula pada 5 Mei, menurut siasatan Times.

Seorang pengawal darat Rusia memberikan koordinat tepat hospital itu kepada juruterbang, yang melaporkan melihat sasaran beberapa minit kemudian, kata akhbar itu.

Pengawal memberi kebenaran serangan pada masa yang sama pengawas yang ditugaskan untuk memberi amaran kepada orang awam sebelum serangan memaklumkan kehadiran jet Rusia di kawasan itu.

Juruterbang kemudian melaporkan menjatuhkan bom dan wartawan tempatan merakamkan hospital diserang tiga bom di bumbungnya dan meletup.

Hospital Pembedahan Kafr Nabl - hanya beberapa kilometer - dibom beberapa kali sejurus selepas itu.

Seperti serangan sebelumnya, seorang pemerhati melaporkan melihat jet pejuang Moscow berlegar, dan  transmisi tentera udara Rusia merekodkan seorang juruterbang mengatakan beliau “mengesan” sasaran sebelum melepaskan tiga serangan yang disahkan seorang doktor, kata Times.

Hospital Gua Kafr Zita dan Hospital Orthopaedic Al Amal juga dibom oleh pesawat Rusia dalam tempoh 12 jam itu.

Keempat kemudahan itu memberikan koordinat mereka kepada PBB untuk dimasukkan ke dalam senarai bagi mengelakkan serangan.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengumumkan bulan lalu beliau menubuhkan siasatan dalaman terhadap pengeboman hospital di Syria yang sebelum ini mendedahkan koordinat mereka.

Beberapa belas kemudahan perubatan yang mempunyai kaitan dengan PBB rosak atau dimusnahkan bom tahun ini. Rusia menafikan sengaja mensasarkan kemudahan awam. – AFP, 14 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen