Korban taufan Hagibis cecah 35 orang


Taufan Hagibis meninggalkan kawasan daratan pada pagi Ahad, tetapi pada masa sama meninggalkan jejak kemusnahan di kawasan sekitarnya. – Gambar EPA, 14 Oktober, 2019.

PULUHAN ribu penyelamat meneruskan usaha mencari pada Isnin mangsa yang terperangkap dalam kejadian tanah runtuh dan banjir di Jepun, disebabkan taufan ganas yang membunuh sehingga 35 orang, kata pejabat dan media tempatan.

Taufan Hagibis meninggalkan kawasan daratan pada pagi Ahad, tetapi pada masa sama meninggalkan jejak kemusnahan di kawasan sekitarnya.

Lebih 100,000 penyelamat - termasuk 31,000 tentera - bekerja keras membersihkan kawasan semalaman, sejak Ahad hingga Isnin untuk menyelamatkan mereka yang terperangkap selepas hujan lebat menyebabkan tanah runtuh dan sungai yang melimpah.

Kemusnahan yang berlaku memaksa Piala Dunia Ragbi yang dihoskan oleh Jepun membatalkan beberapa perlawanan, tetapi “Brave Blossoms”, pasukan negara itu berjaya menewaskan Scotland pada Ahad untuk melayakkan mereka ke suku akhir kejohanan untuk kali pertama.

Kerajaan meletakkan angka kematian seramai 14 orang, dengan 11 orang hilang, tetapi media tempatan mengatakan sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh, dan sekurang-kurangnya 11 masih masih hilang.

Helikopter jabatan ketenteraan dan bomba menyelamatkan mangsa dari bumbung dan balkoni di beberapa lokasi, tetapi di Fukushima, satu  operasi penyelamat berakhir dengan tragis tragis apabila seorang wanita meninggal selepas jatuh dari helikopter.

Di tempat lain, para pekerja penyelamat menjalankan operasi bot untuk memindahkan ratusan orang dari rumah orang tua di Kawagoe, barat laut Tokyo, dengan paras air yang tinggi.

Hagibis melanda pulau utama Honshu pada malam Sabtu sebagai salah satu taufan paling ganas dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan angin ribut sehingga 216kmj. – AFP, 14 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen