PERDANA Menteri Kanada, Justin Trudeau berkata pada Ahad yang beliau merancang meneruskan kempennya seperti biasa selepas dilihat memakai baju kalis peluru pada malam sebelumnya, satu langkah yang dilaporkan oleh CBC disebabkan ancaman keselamatannya.
“Ini tidak akan berubah sama sekali bagaimana saya berkempen,” kata Trudeau, di luar acara kempen di York, menjelang seminggu pilihan raya.
Trudeau memakai baju kemeja seperti biasa ketika berkempen dengan memakai baju kalis peluru di bahagian dalam pada Sabtu.
Ketika ditanya wartawan mengenai ancaman terhadapnya, Trudeau menjelaskan, “Kebimbangan pertama saya adalah keluargaku dan bagi semua orang Kanada di dalam bilik ini,” tetapi enggan mengulas lanjut.
Saingan utama Trudeau, wakil Konservatif Andrew Scheer, menulis Twitter pada Sabtu malam menegaskan “ancaman terhadap pemimpin politik sama sekali tidak mempunyai tempat dalam demokrasi kita.”
Jagmeet Singh, ketua Parti Demokratik Baru (NPD), mengecam ancaman terhadap Trudeau di Twitter pada Sabtu malam.
Pemimpin liberal itu lebih sejam lewat untuk acara Sabtu di Mississauga, sebuah bandar di pinggir kota Toronto, di mana kira-kira 2,000 penyokong sedang menunggunya.
Terdapat juga kehadiran pasukan keselamatan lebih ketat daripada biasa berikutan ancaman keselamatan, lapor CBC.
Pasukan kempennya enggan memberi butiran lanjut mengenainya.
Perdana menteri memberi ucapannya tanpa sebarang insiden, dikelilingi beberapa pegawai polis, dan kemudian sempat bertemu orang ramai sebelum meninggalkan bilik.
Isterinya, Sophie Gregoire-Trudeau yang dijangka naik ke pentas untuk memperkenalkannya juga tidak muncul, kata media tempatan.
Sepanjang tempoh kempen pilihan raya, Polis Royal Canadian Mounted akan menyimpan rekod harian mesej berbau kebencian dalam talian yang menyasarkan pemimpin politik, kerana bimbang berlakunya tindakan ganas, kata CBC. – AFP, 14 Oktober, 2019.
Komen