Kereta kurang, rezeki pemandu e-panggilan bertambah


Mohd Farhan Darwis

Sebuah syarikat pengusaha e-panggilan, Grab, minggu lalu memberi peringatan kepada pelanggannya, waktu menunggu akan jadi lebih manakala pemandu juga akan berkurangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2019.

SEGELINTIR pemandu kenderaan pengantara e-panggilan atau e-hailing seperti dapat durian runtuh selepas kerajaan menguatkuasakan peraturan baharu sejak hujung minggu lalu apabila pendapatan mereka jadi berganda.

Selepas ditangguhkan tiga bulan lalu, peraturan baharu untuk perkhidmatan e-panggilan dikuatkuasakan sejak Sabtu lalu, yang mewajibkan pemandu mendaftar kenderaan, memiliki insurans tambahan dan lesen memandu vokasional.

Peraturan baru dengan syarat lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) dan permit kenderaan e-panggilan (eVP) mulai Sabtu lalu menyebabkan jumlah kenderaan yang beroperasi di jalan raya berkurangan dengan ketara.

“Selalunya saya keluar rumah pukul 4 pagi, pulang pukul 4 petang, kira-kira 12 jam bekerja dapatlah sekitar RM300.

“Tapi hari Sabtu (hari pertama peraturan baharu) main-main pun… saya keluar rumah pukul 4 petang, pukul 9 malam saya dah ada di rumah, dapat lebih dari RM300,” kata pemandu yang mahu dikenali Adli, kepada The Malaysian Insight.

“Mungkin juga sebab kereta kurang tapi permintaan tinggi, lebih-lebih lagi hujung minggu,” katanya, yang memandu perkhidmatan e-panggilan sepenuh masa.

Sejak Sabtu, pengguna di Lembah Klang dilaporkan mengeluh tambang naik sekali ganda dan mereka terpaksa menunggu lebih lama untuk dapat kereta.

Presiden sebuah persatuan pemandu e-panggilan, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail dilaporkan mendakwa tambang rata-rata naik sehingga 30% kerana kereta berkurangan, yang dijangka beransur pulih apabila lebih ramai pemandu memenuhi syarat baharu.

Sebuah syarikat pengusaha e-panggilan, Grab, minggu lalu memberi peringatan kepada pelanggannya, waktu menunggu akan jadi lebih manakala pemandu juga akan berkurangan.

Dalam satu kenyataan tiga hari sebelum peraturan baharu berkuat kuasa, Grab berkata 24% daripada 150,000 pemandunya, atau seorang dalam setiap empat, sama ada masih belum menerima keputusan ujian atau masih menunggu tarikh untuk mengambil ujian. Grab juga berkata 22% daripada pemandunya berhenti kerana peraturan baharu.

Seorang lagi pemandu e-panggilan, yang mahu dikenali sebagai Zahari mengakui proses untuk melengkapkan peraturan baru agak rumit.

Beliau misalnya terpaksa menunggu giliran sehingga tiga bulan untuk menduduki ujian PSV, yang baru didudukinya pada 11 Oktober lalu.

Anthony Loke berkata pihak  berkuasa akan melaksanakan pemeriksaan berperingkat bagi memastikan operasi perkhidmatan itu tidak terjejas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2019.

“Saya tunggu nak ambil ujian dah tiga bulan, tunggu keputusan lagi, nak tunggu permit lagi,” kata kakitangan awam yang menjadikan e-panggilan sebagai pendapatan sampingannya.

Bagi seorang lagi pemandu Faizul, 29, peraturan baru Kementerian Pengangkutan menambah kesulitannya menyebabkan beliau buat keputusan berhenti daripada menjadi pemandu perkhidmatan e-panggilan.

“Kereta kena buat pemeriksaan dengan Puspakom, pemandu juga perlu jalani pemeriksaan kesihatan, perlu duduki ujian PSV, kena pergi ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” kata penjawat awam itu lagi.

Disebabkan itu, Faizul berkata, akaun pemandu e-panggilannya juga tidak lagi dapat diakses kerana sudah disekat syarikat operator.

“Siapa yang tiada lesen, insurans, dan ikut peraturan baru, akaun mereka dah disekat, aplikasi dah tidak boleh digunakan lagi,” katanya, yang bekerja sebagai kakitangan awam.

JPJ sebelum ini menegaskan tidak akan berlembut lagi dengan pemandu e-panggilan yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan kerana masa sudah cukup lama diberikan kepada mereka untuk beralih ke sistem baharu.

Peratuan baharu dikuatkuasa selepas Kementerian Pengangkutan meminda undang-undang berkaitan pelaksanaan e-panggilan di Malaysia. Ia meliputi pindaan terhadap beberapa kaedah seperti Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959; Kaedah Kenderaan Perkhidmatan Awam (Pelesenan dan Kelakuan Pemandu, Konduktor dan Penumpang 1959 dan Kaedah Kenderaan Bermotor (Pemeriksaan Berkala, Kelengkapan dan Standard pemeriksaan) 1995.

Pindaan kaedah itu sepatutnya berkuatkuasa pada 12 Julai 2018, namun kerajaan memberikan tempoh selama satu tahun sehingga 12 Julai 2019 kepada kesemua operator dan pemandu perkhidmatan e-panggilan untuk memenuhi syarat tersebut.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke kemudian pada waktu itu berkata, kerajaan memberikan tempoh tambahan selama tiga bulan sehingga 12 Oktober, sebelum menguatkuasakan peraturan baru itu.

Antara peraturan yang perlu dipatuhi pemandu e-panggilan adalah untuk mendapatkan lesen PSV,  lesen pengendali perkhidmatan e-panggilan, dan menjalani pemeriksaan kenderaan di pusat pemeriksaan kenderaan Puspakom.

Operator pengendali perniagaan pengantaraan atau e-panggilan Grab juga  memberi peringatan kepada pelanggannya, waktu menunggu akan menjadi lebih lama susulan berlakunya pengurangan pemandu atas jalan susulan penguatkuasaan penuh syarat berkaitan pemandu e-panggilan.

Pada 9 Oktober, Loke juga berkata, pihak  berkuasa akan melaksanakan pemeriksaan berperingkat bagi memastikan operasi perkhidmatan itu tidak terjejas. – 14 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen