TABUNG Alam Sedunia (WWF) cawangan Malaysia gembira dengan pengumuman Belanjawan 2020 yang memperuntukkan dana bagi usaha menyelamatkan lebih kurang 200 ekor Harimau Malaya di hutan seluruh tanah air.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam pembentangan belanjawan di Parlimen berkata kerajaan akan memperuntukkan RM48 juta untuk memelihara hutan murni Malaysia dan biodiversiti semula jadi.
Sebahagian RM10 juta daripada peruntukan itu akan digunakan sebagai geran sepadan dengan sumbangan sektor swasta ke arah usaha pemuliharaan dan inisiatif biodiversiti dan mereka juga akan turut menyokong inisiatif ‘Central Forest Spine’ dan ‘Heart of Borneo’, selain usaha rehabilitasi dan pemuliharaan hutan yang diteroka.
“Tepat sekali langkah kerajaan menjadikan usaha perlindungan spesies ini sebagai keutamaan negara sebelum kita kehilangan mereka dan akhirnya pupus,” kata WWF-Malaysia hari ini.
“Haiwan-haiwan ini menjadikan hutan semula jadi di Central Forest Spine sebagai habitat mereka, hutan yang sama di mana ia menjadi sumber air kita.
“Hutan ini juga melindungi negara daripada kemusnahan besar akibat banjir semasa hujan lebat.
“Peruntukan sebanyak RM48 juta untuk menyokong inisiatif CFS dan HOB, serta memulihkan hutan yang terdegradasi, adalah tambahan yang sememangnya diperlukan untuk usaha pemuliharaan,” katanya.
“Kami berterima kasih kepada kerajaan yang meneruskan peruntukan belanjawan untuk HOB pada tahun 2020.
“Ini menunjukkan Malaysia memberi komitmen yang berterusan bagi usaha pemuliharaan yang mampan dalam HOB.”
WWF berkata ia juga berharap peruntukan itu dapat digunakan untuk mempromosikan lebih banyak usaha pemuliharaan, terutamanya berkenaan perlindungan tadahan air di Sabah dan Sarawak.
NGO alam sekitar itu juga turut melahirkan rasa gembira apabila langkah-langkah utama diambil bagi membendung jenayah hidupan liar, termasuk meningkatkan usaha rondaan hutan untuk menjaga aset semulajadi dengan peruntukan RM20 juta bagi pasukan renjer hutan.
“Keputusan untuk melantik Orang Asli sebagai renjer adalah satu langkah yang baik,” kata mereka.
Belanjawan juga memperuntukkan RM15 juta kepada Perikatan Pemuliharaan Malaysia bagi Harimau (MYCAT) dan Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok dan beberapa NGO lain bagi menyokong usaha melindungi harimau dan 11,000 orang orang utan di Malaysia.
Sementara RM20 juta lagi diperuntukkan kepada perlindungan lebih baik terhadap flora dan fauna.
Dana itu akan digunakan untuk mengambil lebih banyak renjer hutan di kalangan askar-askar bersara dan orang-orang dari masyarakat Orang Asli tempatan.
WWF-Malaysia juga memuji peruntukan kerajaan sebanyak RM10 juta bagi usahasama dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk pembiayaan inisiatif SDG di Malaysia, dan RM5 juta untuk menyokong mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Parlimen dan juga untuk penglibatan lebih besar ahli parlimen dengan masyarakat awam, termasuk untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan di peringkat tempatan.
WWF Malaysia berkata ia memuji peruntukan RM5 juta untuk menangani SDG di peringkat akar umbi.
“Tindakan kerajaan formal mengenai SDG masih belum disalurkan ke peringkat daerah.
“Peruntukan ini akan meningkatkan usaha menangani isu akar umbi yang menggunakan SDG, menggabungkan aspirasi ekonomi, sosial, alam sekitar, hak asasi manusia dan aspirasi tadbir urus yang baik, dengan tema tiada siapa yang tertinggal di belakang,” katanya. – 13 Oktober, 2019.
Komen