400,000 penduduk Syria bakal jadi pelarian akibat serangan Turki


Tentera Turki menggempur kedudukan pemberontak Kurdish sejak Jumaat lalu.– Gambar EPA, 13 Oktober, 2019.

SERANGAN Turki di kedudukan pemberontak Turki di timur laut Syria memaksa lebih 130,000 penduduk menjadi pelarian, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

PBB berkata angka tersebut dijangka meningkat tiga kali ganda sehingga 400,000 pelarian ekoran serangan tersebut.

Sejak Jumaat, kira-kira 100,000 penduduk meninggalkan rumah mereka apabila Turki memulakan operasi ketenteraan itu selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengarahkan pengunduran tenteranya dari sempadan negara itu.

Kebanyakan pelarian sudah bertemu keluarga masing-masing atau berlindung di pusat komuniti tetapi jumlah penduduk semakin ramai termasuk di kawasan sekolah.

PBB memberi amaran bahawa jumlah itu akan meningkat mendadak jika Turki memperluaskan kawasan serangan atau mengawal kawasan yang ditawan.

Dalam pada itu, PBB berkata banyak kesan kemanusiaan tercetus ekoran serangan Turki itu yang dilancarkan di beberapa lokasi di sempadan Turki-Syria.

Badan dunia itu juga menyuarakan kebimbangan terhadap 113 staf PPB dan beberapa pertubuhan bantuan antarabangsa yang beroperasi di kawasan itu. – AFP,  13 Oktober, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen