Siasatan polis terhadap LTTE tanpa mengira hubungan politik


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan, Cawangan Khas, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihak polis tidak pernah memaklumkan kepada DAP bahawa tidak akan ada lagi tangkapan melibatkan ahlinya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 Oktober, 2019.

POLIS akan terus memburu individu yang ada kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) tanpa menghiraukan hubungan politik mereka, kata ketua bahagian antikeganasan, Bukit Aman.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan, Cawangan Khas, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihak polis tidak pernah memaklumkan kepada DAP bahawa tidak akan ada lagi tangkapan melibatkan ahli parti politik itu.

“Siasatan akan terus dibuat dan kami akan menangkap mereka yang mempunyai hubungan dengan LTTE, tidak kira siapa anda, ahli parti politik atau tidak. Tangkapan itu akan dibuat dengan bukti kukuh dan selepas siasatan menyeluruh,” kata Ayob Khan dalam sidang akhbar pagi ini.

“Saya tidak tahu di mana YB Lim (Guan Eng) mendapat maklumat, tetapi ia bukan daripada saya,” katanya merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng baru-baru ini.

“Polis tidak pernah mengeluarkan kenyataan itu. Adakah kerana DAP kita perlu menghentikan siasatan? Tiada perkara seperti itu,” kata Ayob Khan.

Lim pada Khamis berkata polis memaklumkan kepadanya tiada ada lagi pemimpin DAP akan ditangkap, selepas dua wakil rakyat ditahan berhubung dakwaan mempunyai kaitan dengan LTTE pada hari yang sama.

Kedua-duanya, Adun Gadek, G Saminathan yang juga exco Melaka dan Adun Seremban Jaya P. Gunasekaran.

Mereka adalah antara kumpulan pertama daripada tujuh individu yang ditangkap berhubung siasatan LTTE. Lima lagi ditahan semalam, menjadikan jumlah itu seramai 12 orang. – 13 Oktober, 2019.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen