PERDANA Menteri Pakistan Imran Khan pada Jumaat menuduh media antarabangsa bersikap “dwistandard”, dengan berkata agensi berita lebih memberi perhatian kepada protes di Hong Kong berbanding situasi di wilayah yang menjadi pertikaian Kashmir.
Khan, yang kembali minggu ini dari Beijing, juga memberitahu kira-kira 300 orang di perhimpunan di Islamabad yang Hong Kong “adalah sebahagian daripada China, tetapi ini (Kashmir) adalah wilayah yang dipertikaikan”.
“Kisah barbarisme (di Kashmir) tidak dilaporkan dalam media antarabangsa,” kata Khan.
“Jadi saya mahu meletakkan ‘dwistandard’ ini di mata dunia.”
Khan dilihat cuba meminimumkan kesan protes Hong Kong.
Sudah lebih dua bulan, Kashmir yang dikuasai India berada di bawah kawalan keselamatan selepas New Delhi menarik kembali status autonomi.
“Setakat yang saya tahu, sehingga kini hanya beberapa orang yang cedera, mungkin dua atau tiga orang terbunuh akibat kemalangan di bandar yang dilanda kekacauan,” katanya.
Tetapi di Kashmir, “8 juta” orang terpaksa diletakkan di bawah perintah berkurung, manakala “100,000” terbunuh dalam tiga dekad yang lalu.
Ratusan cedera dalam pertempuran empat bulan di Hong Kong. Satu kematian dikaitkan dengan kerusuhan itu, apabila seorang penunjuk perasaan di satu bahagian bangunan terjatuh semasa percubaan menyelamat.
Ribuan orang dipercayai terbunuh sejak pemberontakan Kashmir meletus pada 1980-an. New Delhi meletakkan jumlah 47,000, manakala kumpulan hak berkata sekitar 70,000.
Perintah berkurung tidak lagi dikenakan, walaupun puluhan ribu pasukan keselamatan tambahan masih ada, sesetengah sekatan pergerakan kekal dan sebahagian besar komunikasi masih terputus. – AFP, 13 Oktober, 2019.
Komen