4 maut kejadian tembakan di New York


Tiada yang ditangkap berhubung kejadian tembakan di Brooklyn dan motifnya masih belum diketahui. – Gambar EPA, 13 Oktober, 2019.

SEKURANG-KURANGNYA empat orang mati dan tiga cedera dalam satu kejadian tembakan di sebuah kelab sosial persendirian tidak berlesen di New York pada awal pagi Sabtu, kata polis.

Tiada sesiapa ditangkap berhubung kejadian di Brooklyn itu dan motifnya belum diketahui, kata seorang pegawai polis New York kepada AFP.

Kejadi berlaku di Triple A Aces Private & Social Rental Place, yang disifatkan Ketua Polis New York  Dermot Shea sebagai “lokasi perjudian haram.”

Empat lelaki dikatakan mati di tempat kejadian, manakala dua lelaki dan seorang wanita mengalami kecederaan tidak serius, kata pegawai polis.

Shea memberitahu wartawan semasa taklimat, terdapat bukti perjudian dan siasatan awal menunjukkan sekurang-kurangnya 15 tembakan dilepaskan.

Shea berkata terlalu awal untuk mengetahui sama ada perselisihan itu adalah kerana perjudian atau mungkin berkaitan rompakan.

Dua senjata api ditemui dan pegawai polis berkata tidak terkejut jika menemui lebih banyak.

Detektif pembunuhan berada di tempat kejadian, dan Shea berkata tiada bukti menunjukkan jenayah itu berkaitan dengan geng. – AFP, 13 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen