Tapak pembinaan hotel di New Orleans runtuh, seorang maut


Sebuah hotel di New Orleans yang sedang dalam pembinaan runtuh menyebabkan seorang maut dan 18 yang lain cedera. – Gambar AFP, 13 Oktober, 2019.

SEORANG maut dan sekurang-kurangnya 18 yang lain cedera dalam insiden runtuhan di tapak pembinaan sebuah hotel di New Orleans, Amerika Syarikat hari ini.

Jabatan bomba New Orleans menerima laporan pada jam 9.12 pagi waktu tempatan mengatakan Hotel Hard Rock di pusat bandar New Orleans telah runtuh.

Menurut Ketua Jabatan Bomba Timothy McConnel, seorang didapati meninggal dunia di tempat kejadian.

“Bangunan kini berada dalam keadaan tidak stabil.

“Runtuhan lain mungkin akan berlaku,” katanya kepada pemberita di tapak pembinaan.

McConnel berkata, anggota bomba telah memindahkan pekerja pembinaan ke dalam hotel selepas tingkat enam hingga lapan bangunan itu runtuh.

Pengarah perkhidmatan perubatan kecemasan Emily Nichols berkata, responden pertama mengatakan kira-kira 19 orang berada di tempat kejadian dan 18 daripadanya dibawa ke hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Tiga lagi masih hilang dan tidak ada laporan kecederaan berlaku dalam kalangan pelawat.

Pengarah pejabat Homeland Security tempatan Collin Arnold berkata, operasi membersihkan kawasan sedang dijalankan berikutan struktur hotel yang tidak stabil,

Beliau meminta orang ramai menjauhkan diri dari kawasan itu dan tidak menggunakan drone untuk tujuan peribadi atau media bagi melihat runtuhan di tempat kejadian.

Jabatan bomba sedang berusaha untuk mengosongkan bangunan berdekatan terutamanya kompleks pangsapuri. – AFP, 13 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen