Had harga skim sewa beli rumah wajar diturunkan


Sekiranya kerajaan merendahkan had Skim Pembiayaan Sewa Untuk Memiliki, ia akan dapat meningkatkan jumlah pembeli yang mampu membeli rumah disewa itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2019.

KERAJAAN diminta mengkaji semula inisiatif Skim Pembiayaan Sewa Untuk Memiliki (RTO) yang dimasukkan dalam Belanjawan 2020 kerana harga rumah mampu milik yang ditetapkan sehingga RM500,000 dilihat masih tinggi untuk ramai bakal pembeli.

Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) Chang Kim Loong berkata walaupun ia dilihat sebagai satu langkah proaktif membuka pintu kepada lebih ramai memiliki rumah, lebih wajar sekiranya kerajaan merendahkan had harga yang ditetapkan iaitu RM500,000 kepada nilai yang lebih rendah iaitu sekitar RM300,000.

“HBA menyokong penuh tindakan kerajaan memperkenal RTO ini, namun adalah lebih baik sekiranya had itu direndahkan supaya dapat meningkatkan jumlah pembeli yang akan mampu membeli rumah yang mereka sewa itu.

“ Kita ambil contoh sekiranya harga sebuah rumah sekitar RM500,000, jadi jumlah penyewa yang mampu untuk membelinya sekitar 20,000 orang. Namun jika harganya sekitar RM300,000, penyewa yang mampu membelinya boleh meningkat sekitar 33,333 orang dan ini lebih menguntungkan kerajaan dan pemaju,” katanya.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 Jumaat lalu berkata kerajaan akan mengadakan usahasama dengan institusi kewangan untuk melaksanakan RTO bagi membantu mereka yang tidak mampu membayar deposit 10% dan sukar mendapatkan akses pembiayaan pembelian rumah.

Melalui skim untuk pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500,000 itu, pembiayaan sebanyak RM10 bilion akan disediakan oleh institusi kewangan dengan sokongan kerajaan melalui penyediaan jaminan sebanyak 30 peratus atau RM3 bilion.

Di bawah skim ini, pemohon akan menyewa rumah bagi tempoh sehingga lima tahun dan selepas setahun, diberi pilihan untuk membeli rumah kediaman berkenaan pada harga yang ditetapkan semasa perjanjian penyewaan ditandatangani.

Chang berkata dengan had harga yang lebih rendah dan jumlah dana pembiayaan RM10 bilion itu, beliau menjangkakan pihak pemaju akan dapat melihat adanya keperluan untuk membina lebih banyak projek  perumahan mampu milik kerana kadar pembelinya yang bertambah seiring penurunan harga hartanah itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Soam Heng Choon turut menyokong usaha kerajaan memperkenal RTO yang mana ia dilihat berperanan meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat, selaras dengan agenda perumahan negara.

Bagi pelanjutan Skim Perumahan Belia pula, Soam berkata ia dapat memberi manfaat kepada golongan belia yang mencari rumah, namun berharap had untuk 10,000 unit rumah akan ditingkatkan untuk memberi manfaat kepada lebih ramai pembeli terutama golongan berpendapatan rendah (B40). – Bernama, 13 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen