Jepun pergiat usaha selamat mangsa taufan Hagibis


Orang ramai berjalan di jalan raya yang diliputi lumpur di Kawasaki, berhampiran Tokyo, Jepun. Menurut laporan media terkini, sekurang-kurangnya empat orang meninggal dunia dan lebih 10 hilang selepas dilanda taufan Hagibis. – Gambar EPA, 13 Oktober, 2019.

PASUKAN tentera Jepun hari ini bergegas menyelamatkan mangsa yang terperangkap banjir selepas taufan Hagibis, yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat nyawa, menyebabkan tanah runtuh dan sungai melimpah.

Menjelang pagi ini ribut yang semakin lemah dan reda tetapi meninggalkan kesan kemusnahan dan memaksa penganjur Piala Rugbi Dunia membatalkan satu lagi perlawanan.

Banjir serius dilaporkan di tengah Nagano di Jepun, dengan air sungai Chikuma membanjiri kawasan kediaman sehingga ke tingkat dua.

Tentera mengerahkan helikopter untuk menyelamatkan orang yang dilihat dalam rakaman udara berdiri di balkoni melambaikan tuala untuk menarik perhatian.

“Semalam, kami mengeluarkan perintah pemindahan kepada 427 isi rumah yang melibatkan 1,417 individu,” kata Yasuhiro Yamaguchi, seorang pegawai kecemasan di bandar Nagano, kepada AFP.

“Tidak jelas berapa banyak rumah terjejas,” katanya, sambil berkata paras sungai tidak lagi naik tetapi air masih tinggi di kawasan kediaman.

Rakaman udara menunjukkan kereta api laju separuh tenggelam dalam air berlumpur di depot di Nagano.

Semalam, lebih 7 juta orang diletakkan di bawah perintah pengasingan tidak wajib, dengan puluhan ribu menuruti gesaan dan berpindah ke tempat perlindungan kerajaan sementara menunggu badai reda.

Hagibis menyebabkan huru-hara pengangkutan di hujung minggu yang panjang di Jepun, menggantung semua penerbangan di rantau Tokyo, dan memaksa penangguhan kebanyakan perkhidmatan kereta api di ibu negara.

Hagibis membadai pulau utama Jepun, Honshu kira-kira pukul 7 malam semalam sebagai salah satu taufan paling ganas dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan angin ribut sehingga 216kmj. – AFP, 13 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen