Jane Fonda ditahan ketika protes iklim di Washington


Jane Fonda ditahan bersama beberapa yang lain selepas 10 minit memprotes di tangga Bangunan Capitol, Washington menurut video yang dipaparkan di laman Facebook beliau. – Gambar EPA, 13 Oktober, 2019.

PEMENANG Oscar, Jane Fonda ditahan pada Jumaat di luar Capitol Amerika Syarikat (AS) ketika menyertai bantahan perubahan iklim dan menuntut tindakan untuk melindungi alam sekitar.

Bintang filem berusia 81 tahun, aktivis dan guru senaman itu ditahan bersama beberapa yang lain selepas 10 minit memprotes di tangga Capitol, menurut video yang dipaparkan di laman Facebook beliau.

“Hari ini, Polis Capitol AS menahan 16 individu kerana didakwa berdemonstrasi secara haram di bahagian timur Capitol AS,” kata jurucakap polis dalam satu kenyataan yang tidak mengenal pasti mereka yang ditahan.

Fonda, berpakaian mantel merah terang, melaungkan slogan tindakan iklim sebelum ditahan.

Fonda baru-baru ini memberitahu Los Angeles Times beliau berpindah ke Washington selama empat bulan, komited sepenuhnya untuk melawan pemanasan global dengan semangat sebagaimana remaja dan aktivis iklim Greta Thunberg.

Bercakap kepada kumpulan kecil sebelum ditangkap, Fonda mendakwa perubahan iklim adalah “krisis buatan manusia” dan beliau serta aktivis lain akan kembali ke Capitol Hill setiap Jumaat pukul 11.00 bagi melakukan protes.

“Ini adalah krisis kolektif yang memerlukan tindakan kolektif sekarang,” katanya.

Perubahan iklim muncul sebagai isu penting dalam politik AS, dan beberapa calon yang memohon penamaan presiden 2020 Demokrat melancarkan platform gerakan iklim yang besar. – AFP, 13 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen