16 terbunuh serangan masjid di Burkina Faso


Pihak berkuasa Burkina Faso gagal mengawal dan menentang keganasan dilakukan kumpulan militan. – Gambar AFP, 13 Oktober, 2019.

SEKUMPULAN lelaki bersenjata yang menyerang sebuah masjid di utara Burkina Faso ketika para jemaah sedang bersembahyang, membunuh 16 orang dan menyebabkan penduduk sekitar lari menyelamat diri, kata sumber keselamatan dan penduduk setempat pada Sabtu.

Serangan terhadap Masjid Besar di bandar Salmossi pada petang Jumaat membuktikan kesukaran yang dihadapi oleh negara dalam pertempuran melawan kumpulan militan.

Satu sumber mengatakan 13 orang maut di tempat kejadian dan tiga lagi akibat kecederaan dialami, sementara dua lagi yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

“Sejak pagi ini, orang ramai mula melarikan diri,” kata seorang penduduk dari bandar Gorom-Gorom yang berdekatan.

Beliau berkata terdapat keadaan panik walaupun ada bantuan tentera yang dikerahkan selepas serangan maut.

Walaupun dilanda keganasan militan, ramai penduduk menentang kehadiran pasukan tentera  asing - terutama dari bekas penjajah Perancis - di wilayah mereka.

Pada Sabtu, kira-kira 1,000 orang berarak di ibu negara Ouagadougou “untuk mengutuk keganasan dan kehadiran pangkalan tentera asing di Afrika.”

“Keganasan kini menjadi sebab yang ideal bagi membawa masuk pangkalan tentera asing di negara kita,” kata Gabin Korbeogo, salah seorang penganjur bersama perarakan itu.

“Tentera Perancis, Amerika, Kanada, Jerman dan lain-lain menjejakkan kaki di rantau kami, mengatakan mereka mahu memerangi keganasan, tetapi walaupun dengan kehadiran yang besaran ... kumpulan pengganas ... semakin kuat.”

Hampir 500,000 orang melarikan diri susulan keganasan, menurut agensi pelarian PBB, yang memberi amaran tentang krisis kemanusiaan yang menjejaskan 1.5 juta orang. – AFP, 13 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen