RM1.1 bilion untuk pelancongan jumlah yang banyak tetapi perlukan strategi


Khoo Gek San

Sebahagian besar peruntukan dalam Belanjawan 2020 bagi industri pelancongan adalah untuk memacu kempen promosi TMM2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2019.

PEMAIN industri pelancongan menyambut baik peruntukan sebanyak RM1.1 bilion bagi merangsang Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020), tetapi agak kesal kerana masanya agak tidak tepat, dengan tempoh berbaki kurang tiga bulan sebelum menjelang akhir tahun.

Daripada jumlah itu, yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2020 pada Jumaat, RM90 juta adalah untuk memacu kempen promosi TMM2020.

Persatuan Pelancongan Inbound Malaysia (Mita) mempersoalkan bagaimana pemain industri pelancongan dapat mengakses dana pada masanya, kerana usaha promosi perlu dilakukan sebelum 2019 berakhir.

“Apa yang kita perlukan adalah wang dalam masa sesingkat mungkin untuk mempromosikan pelancongan Malaysia,” kata Presiden Mita Uzaidi Udanis kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata peruntukan RM1.1 bilion adalah banyak tetapi Malaysia perlukan strategi dalam menjalankan kempen pelancongannya.

“RM1.1 bilion bukan angka kecil. Untuk menarik 30 juta pelancong ke Malaysia, saya percaya usaha yang hebat harus dibuat untuk merancakkan pasaran China dan India,” katanya merujuk kepada ketibaan pelancong sasaran TMM2020.

Kempen promosi juga perlu mengambil kira tempoh perjalanan pilihan pelancong Eropah, seperti musim sejuk, serta tempoh puncak untuk warga China dan India, katanya.

Selain jumlah yang diperuntukkan untuk mempromosikan TMM2020, Belanjawan 2020 juga memberi insentif cukai kepada sektor pelancongan, termasuk pengecualian cukai pendapatan beberapa taman tema baru dan potongan cukai kepada penaja.

Dari segi strategi, usaha harus difokuskan kepada China, Hong Kong, Taiwan dan Macau, kata Persatuan Inbound China.

Kempen promosi juga perlu mengambil kira tempoh perjalanan pilihan pelancong Eropah, seperti musim sejuk, serta tempoh puncak untuk warga China dan India. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2019.

Presidennya, Angie Ng berkata Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan tidak perlu bersusah payah dengan bahan bercetak, seperti majalah dan risalah untuk pasaran ini, dan sebaliknya menggunakan platform media sosial Cina dan “influencer” dengan pengikut yang besar di negara terbabit.

“Ini adalah cara untuk mencapai publisiti maksimum dan mempromosikan pelancongan Malaysia dalam masa yang singkat.”

Memuji pengecualian cukai pendapatan bagi taman tema baru, beliau berkata kerajaan juga harus merancang program budaya dan warisan menarik, yang popular di kalangan rakyat China. – 13 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen