5 lagi ditahan berhubung pengganas LTTE, kata sumber


Kalidevi Mogan Kumarappa

Setakat ini jumlah tangkapan berhubung siasatan LTTE adalah seramai 12 orang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2019.

POLIS menahan lima lagi individu yang disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Sumber polis berkata, lima individu itu ditahan hari ini kerana disyaki mempromosi, menyokong dan menyalurkan dana kepada kumpulan berkenaan.

Lima yang ditahan hari ini diberkas di Pulau Pinang, Melaka dan Selangor.

Sumber lain berkata, seorang ahli NGO yang berpangkalan di Pulau Pinang ditahan di negeri itu, manakala dua lagi ditahan di Melaka.

Dua lagi individu terlibat ditahan di Selangor.

Sumber bagaimanapun enggan mendedahkan sama ada terdapat personaliti penting dalam kalangan individu yang ditahan.

“Tunggu sidang media polis berhubung perkara itu,” kata sumber.

Sementara itu, laporan Berita Harian menyebut, DAP Melaka mengesahkan dua daripada yang ditahan itu merupakan ahli parti negeri itu.

Pengerusi DAP negeri, Tey Kok Kiew mengesahkan salah seorang daripadanya merupakan seorang ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan seorang lagi adalah ketua pegawai eksekutif perbadanan anak syarikat kerajaan negeri.

Penahanan hari ini menjadikan jumlah individu yang ditahan seramai 12 orang setakat ini.

Operasi hari ini susulan penangkapan  tujuh individu, termasuk dua Adun DAP dari Melaka dan Negeri Sembilan, kerana didakwa mempunyai hubungan dengan LTTE.

Dua wakil wakyat itu adalah anggota Exco Melaka G Saminathan dan Adun Seremban Jaya P Gunasekaran

Kesemuanya diberkas mengikut  Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma yang membenarkan penahanan selama 28 hari.

Polis tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dibuat bagi membantu siasatan berhubung kumpulan pengganas LTTE.

Polis dijangka mengadakan sidang media esok bagi mengumumkan butiran penahanan terbaru itu. – 12 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen