Turki teruskan serangan ke atas pemberontak Kurdish 


Tentera Turki dan proksi Syria terus mara ke kawasan tengah sempadan yang dikuasai Kurdish.– Gambar EPA, 12 Oktober, 2019.

TURKI meneruskan serangan di bandar yang dikuasai pemberontak Kurdish berhampiran sempadan di timur laut Syria pada Sabtu.

Serangan berkenaan yang memasuki hari keempat itu mencetuskan kecaman antarabangsa termasuk Amerika Syarikat.

Tentera Turki dan proksi Syria terus mara ke kawasan tengah sempadan yang dikuasai Kurdish.

Dua bandar - Ras al-Ain dan Tal Abyad berdepan siri pengeboman menyebabkan puluhan ribu penduduk terpaksa melarikan diri.

“Tentera Turki dan kumpulan pemberontak yang merupakan sekutunya menyerang Ras al-Ain,” kata pemerhati hak asasi manusia Syria.

Tentera Ankara terus masa ke Ras al-Ain dengan perlindungan kereta perisai dan serangan udara, menurut pemerhati yang berpangkalan di Britain itu.

Koresponden AFP di pekan berhampiran mendengar berlaku pertempuran ketika tentera Turki mara dengan pelancar roket.

Ramai pemberontak Kurdish (SDF) mengalami kecederaan ketika bertahan daripada serangan Turki.

Sekurang-kurangnya 20 anggota SDF terbunuh dalam serangan itu.

Anggota SDF di Ras al-Ain berkata, pasukannya terus mengasak tentera Ankara namun pertempuran masih berterusan.

Di kawasan pedalaman, pemberontak Kurdish mula hilang kawasan.

Tentera Turki berjaya menawan 11 buah kampung dan kebanyakan mereka di Tal Abyad, menjadikan 23 perkampungan dikuasai mereka setakat ini. – AFP, 12 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen