POLIS Melaka tidak menolak kemungkinan penemuan lapan bahagian tubuh manusia dipercayai mangsa bunuh adalah milik dua beranak yang tular di media sosial sejak semalam, kata Ketua Polis Melaka Mat Kasim Karim.
Katanya pihak polis percaya mangsa mempunyai pertalian dengan pembunuh, bagaimanapun semua perkara tersebut perlu disahkan secara profesional daripada pihak patologi dan menerusi bedah siasat selain proses pengecaman oleh keluarga terdekat.
Justeru, beliau berkata orang ramai dimohon berhenti berkongsi gambar mangsa atau maklumat berhubung kejadian itu kerana ia boleh menggangu siasatan polis, selain menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
“Keputusan lanjut berhubung siasatan kes ini akan dimaklumkan oleh pihak polis dari semasa ke semasa dan biarlah polis menjalankan siasatan dengan rapi untuk memberikan keadilan kepada semua pihak,” katanya kepada pemberita di Ayer Keroh di Melaka, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan polis menemukan mayat individu dipercayai lebih daripada seorang yang menjadi mangsa bunuh apabila bahagian tubuh ditemui berselerakan sekurang-kurangnya lapan bahagian di kawasan semak Kampung Ladang, Krubong di Melaka pada Khamis lepas.
Mat Kasim berkata suspek kes berkenaan yang merupakan warga Singapura telah ditahan semalam dengan kerjasama polis Singapura dan telah diserahkan kepada pihak polis Malaysia, malam tadi.
Beliau berkata suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Polis Singapura kerana memberi kerjasama yang baik sehingga suspek dapat ditahan.
“Perkembangan seterusnya kita ingin mencari bukti tambahan dan dipercayai ada lagi bahagian lain serta senjata yang digunakan masih belum dijumpai,” katanya. – Bernama, 12 Oktober, 2019.
Komen