Lelaki Perancis bunuh keluarga sebelum hilang 8 tahun, ditangkap


Orang ramai berarak secara aman di Nantes pada 2011 sebagai memperingati lima sekeluarga yang dibunuh sebelum ditanam di depan rumah oleh Xavier Dupont de Ligonnes. – Gambar EPA, 12 Oktober, 2019.

SALAH seorang lelaki Perancis yang dihendaki, berjaya ditahan di Scotland, lapan tahun hilang tanpa jejak selepas membunuh isteri dan empat anaknya.

Xavier Dupont de Ligonnes dikenakan waran tahanan antarabangsa dalam kes pembunuhan pada 2011 yang menjadi misteri di Perancis.

Ahli perniagaan dari keturunan aristokrat itu berhenti di lapangan terbang Glasgow pada Jumaat selepas tiba dengan pesawat dari Paris, menurut dua sumber yang dekat dengan siasatan.

Sumber itu mengesahkan jap jari sepadan tetapi seorang lagi berkata analisis DNA diadakan untuk betul-betul mengesahkan itu dia.

Seorang lagi sumber berkata Dupont de Ligonnes menggunakan pasport Perancis yang dicuri dan mungkin selama ini melarikan diri di Britain.

Suspek berusia 58 tahun itu menembak mati keluarganya dan menanam mereka di bawah balkoni rumah mewah mereka barat Nantes.

Mayat mangsa ditemui tiga minggu selepas pembunuhan itu, di mana ketika itu Dupont de Ligonnes dilaporkan memberitahu anak remajanya yang dia bertukar kerja ke Australia.

Dia dikatakan memberitahu rakan-rakannya bahawa dia ejen risikan AS yang diletakkan di bawah program perlindungan saksi.

Pendakwa raya Perancis berkata dia membunuh semua lima mangsanya dalam “pembunuhan yang teratur”, menembak dua kali setiap mangsa di kepala pada jarak dekat dengan senjata yang dilengkapi penebat bunyi.

Dia dipercayai membungkus mereka dengan kain sebelum menanam di bawah konkrit rumah.

Terdahulu, semalam pegawai mengesannya di lapangan terbang Charles de Gaulle, tetapi tidak sempat untuk menahannya, jadi mereka memaklumkan kepada polis Britain, yang mengesahkan penahan dibuat.

Akhbar Perancis melaporkan Dupont de Ligonnes melakukan pembedahan plastik untuk mengubah penampilannya, memetik sumber polis.

Selama bertahun-tahun Perancis terikat dengan persoalan bagaimana Dupont de Ligonnes hilang tanpa dikesan, dengan ada yang mencadangkan dia mungkin membunuh diri.

Pada 2015, sepucuk surat dan gambar dua anak lelakinya, ditandatangani dengan namanya dan mesej “Saya masih hidup”, dihantar kepada wartawan AFP tetapi pakar tidak dapat mengesahkan kesahihannya. – AFP, 12 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen