Persatuan PKS puji ‘hala tuju jelas' dalam Belanjawan 2020


Khoo Gek San

Persatuan PKS memuji hala tuju jelas untuk industri itu dalam Belanjawan 2020. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 12 Oktober, 2019.

BELANJAWAN 2020 menetapkan hala tuju untuk digitasi dan pengembangan global bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dianggap “langkah baik hati” memandangkan Putrajaya berdepan kekangan kewangan, kata kumpulan PKS.

Presiden Persatuan PKS Malaysia Michael Kang menyifatkannya sebagai belanjawan pragmatik dan salah satu hala tuju paling jelas untuk PKS berbanding belanjawan sebelum ini, apabila hanya peruntukan diberikan tanpa hala tuju atau harapan jelas.

“Sebelum ini, PKS tiada hala tuju. Tetapi, belanjawan tahun depan ada pelbagai insentf untuk PKS dan jelas hala tujunya untuk membangunkan perusahaan digital dan berkembang di peringkat antarabangsa,” kata Kong kepada The Malaysian Insight.

PKS menyumbang 38.3% kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan Kang berkata belanjawan kerajaan untuk sektor itu akan membantu ia terus berkembang selari dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Di bawah WKB2030, Putrajaya mahu meningkatkan sumbangan PKS kepada KDNK sehingga 50%.

Kang berkata Belanjawan 2020 mempunyai insentif jelas untuk PKS meningkatkan digitalisasi dan automasi. Kedua-dua perkara itu dianggap “segmen keutamaan” untuk PKS di bawah belanjawan bersama-sama PKS Bumiputera dan PKR berorientasikan eksport.

Semua perkara ini akan mendapat akses pembiayaan lebih baik menerusi Skim Jaminan Pinjaman Perniagaan (SJPP), di mana jaminan pembiayaan kerajaan dinaikkan daripada 70% kepada 80%, manakala upah jaminan dikurangkan kepada 0.75%.

“Pada masa sekarang, hanya 23% hingga 25% PKS menggunakan automasi dalam sistem operasi mereka. Peruntukan kerajaan sebanyak RM75 juta untuk mempromosi komputerisasi dan automasi akan membantu PKS tempatan bergerak ke arah matlamat Industri 4.0 negara,” kata Kang.

Sebuah lagi persatuan PKS, Samenta, berkata Belanjawan 2020 secara langsung menangani kebimbangan PKS tentang transisi digitalisasi.

Ini dibantu dengan geran padanan 50% sehingga RM5,000 untuk sebuah syarikat bagi penggunaan perkhidmatan digital seperti e-POS dan e-gaji, serta geran padanan untuk automasi PKS pembuatan dan perkhidmatan. – 12 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen