TENTERA AS berhampiran sempadan utara Syria berdepan serangan tembakan dari Turki semalam, kata jurucakap Pentagon, memberi amaran yang AS bersedia memenuhi undangan pertempuran dengan tindakan kekerasan serta merta.
Tentera AS mengesahkan berlaku letupan pada jam 9 malam beberapa ratus meter dari pangkalannya berhampiran bandar Kobani, dalam kawasan “diketahui oleh Turki bahawa ada tentera AS”.
“Semua tentera AS yang berada di sana tidak cedera. Tentera AS masih belum berundur dari Kobani,” kata Brook DeWalt dalam satu kenyataan.
Presiden AS Donald Trump berdepan kecaman hebat kerana membenarkan gerakan ketenteraan Turki di utara Syria, yang bermula selepas Trump mengarahkan tentera AS berundur.
Turki mensasarkan Pasukan Bersenjata Demokratik Syria (SDF) diterajui Kurdish, sekutu rapat AS dalam perang lima tahun menentang Daesh. SDF kehilangan 11,000 pejuangnya dalam kempen ketenteraan diketuai AS itu.
Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin semalam berkata Trump sudah membenarkan- tetapi belum dilaksanakan- “sekatan baharu sangat signifikan” untuk memastikan Turki menghentikan sebarang operasi tentera.
“Amerika Syarikat kekal menentang pergerakan tentera Turki ke dalam Syria dan terutamanya membantah operasi Turki diluar zon mekanisme sekuriti dan dalam kawasan yang Turki tahu ada kehadiran tentera AS,” tambah DeWalt.
“AS menuntut Turki mengelak sebarang tindakan yang boleh menyebabkan gerakan pertahanan serta merta.” – AFP, 12 Oktober, 2019.
Komen