PRESIDEN Indonesia Joko Widodo mengarahkan langkah keselamatan dipertingkatkan semalam selepas dua militan dikaitkan dengan kumpulan pengganas IS, menikam menteri keselamatan, di mana ahli politik itu kini dirawat di hospital selepas menjalani pembedahan.
Polis masih mencari lebih ramai lagi suspek dalam cubaan pembunuhan Wiranto, seorang bekas ketua angkatan tentera berusia 72 tahun itu.
Menteri itu ditikam dengan pisau sebanyak dua kali di bahagian perut ketika keluar dari kenderaannya di Pandeglang, dalam satu lawatan kerja pada Khamis.
“Walaupun langkah keselamatan sudah diambil, mereka perlu perbaiki lagi supaya apa yang berlaku pada Wiranto tidak akan berlaku lagi,” kata Widodo.
Seorang lelaki 31 tahun dan wanita 21 tahun, dilaporkan suami isteri, ditahan di tempat kejadian.
Mereka kemudian dikenal pasti sebagai anggota Jamaah Ansharut Daulah (JAD), satu rangkaian ekstremis yang setia kepada IS.
Widodo berkata beliau mengarahkan polis dan ketua agensi risikan untuk terus mencari suspek lain dalam JAD, yang bertanggungjawab atas beberapa serangan sebelum ini – termasuk pengeboman bunuh diri di gereja di Surabaya, bandar kedua terbesar Indonesia tahun lalu.
Serangan berlaku tidak lama sebelum Widodo memulakan penggal keduanya sebagai presiden republik yang populasinya seramai 260 juta orang itu. – AFP, 12 Oktober, 2019.
Komen