Himpunan di Sudan, sokong ulama kecam bola sepak wanita


Orang ramai menyokong ulama Abdel Hay Youssef yang mengecam menteri sukan wanita baharu kerana menyokong liga bola sepak wanita pertama di negara itu. – Gambar EPA, 12 Oktober, 2019.

ORANG ramai di Sudan berhimpun selepas solat Jumaat sebagai sokongan kepada ulama Islam yang mengecam menteri sukan wanita baharu kerana menyokong liga bola sepak wanita pertama di negara itu.

Liga bola sepak wanita Sudan mengadakan perlawanan pertamanya pada 30 September dengan turut dihadiri Menteri sukan Wala Essam dan beberapa diplomat asing.

“Kami akan beri perhatian khas kepada sukan wanita dan bola sepak wanita,” kata Essam pada perlawanan itu.

Ulama Abdel Hay Youssef, terkenal dengan ucapannya yang berapi dan menyokong pemimpin Islam Omar al-Bashir yang digulingkan, berkata Islam melarang wanita bermain bola sepak dan mengecam Essam kerana menyokong sukan itu.

Penyokong Youssef berhimpun di luar sebuah masjid di selatan Khartoum di mana ulama itu berceramah, dengan mereka melaungkan slogan menyokongnya.

Bola sepak wanita berdepan kesukaran di Sudan sejak negara itu mengguna pakai undang-undang syariah pada 1983, enam tahun sebelum Bashir merampas kuasa.

Bashir digulingkan oleh tentera dalam satu rampasan kuasa pada 11 April. – AFP, 12 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen