SEBAHAGIAN besar California dalam keadaan berjaga-jaga susulan api liar merebak di kawasan selatan negeri itu, menyebabkan ratusan ribu penduduk terpaksa dipindahkan dan banyak bangunan dan rumah musnah.
Pihak berkuasa bomba berkata seorang wanita 89 tahun meninggal dunia di Calimesa, kira-kira 115km di timur Los Angeles.
Seorang lagi lelaki berusia 50-an meninggal dunia kerana serangan jantung ketika menghubungi jabatan bomba di Lembah San Fernando.
Api merebak dari 60 ekar kepada 7,500 ekar menjelang tengah hari, menyebabkan arahan berpindah dikeluarkan kepada lebih 100,000 penduduk.
Ketua Jabatan Bomba Los Angeles Ralph Terrazas berkata kebakaran bermula lewat Khamis di bandar Sylmar merebak dengan cepat kerana cuaca panas dan angin kuat dikenali sebagai Santa Ana.
Beliau berkata kira-kira 1,000 anggota bomba sedang cuba memadamkan kebakaran yang hanya dapat dikawal 13% pada awal tengah hari, menyebabkan beberapa lebuh raya utama ditutup.
Sekurang-kurangnya 25 bangunan musnah dalam kebakaran itu, di mana puncanya masih tidak diketahui.
“Mengikut perkiraan kami api itu merebak pada kadar 8000 ekar sejam,” kata Terrazas. – AFP, 12 Oktober, 2019.
Komen