Berapa peruntukan penambahbaikan dalam bajet pendidikan, soal Page


Timothy Achariam

Kementerian Pendidikan menerima RM64.1 bilion iaitu peningkatan daripada RM60.2 bilion dalam belanjawan pada 2019. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2019.

PERSATUAN Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) menyambut baik peruntukan RM64.1 bilion untuk Kementerian Pendidikan, bahagian terbesar daripada Belanjawan 2020, tetapi mempersoalkan berapa banyak yang akan digunakan untuk peningkatan pendidikan yang sebenar.

Bagaimanapun, Page memberitahu The Malaysian Insight adalah menjadi kebimbangan sekiranya sebahagian besar peruntukan, yang tidak ditentukan ketika Belanjawan 2020 dibentangkan semalam, digunakan untuk emolumen guru dan hanya sedikit untuk penambahbaikan substantif.

“Page gembira dengan belanjawan yang pemurah untuk pendidikan. Bagaimanapun, kami memberi amaran kepada orang ramai bahawa sebahagian besarnya adalah untuk emolumen guru yang meninggalkan sedikit sahaja untuk banyak perkara penting,” kata kumpulan itu.

Kementerian Pendidikan menerima RM64.1 bilion, yang terbesar dalam belanjawan Putrajaya bernilai RM297 bilion untuk tahun depan. Ini adalah peningkatan daripada RM60.2 bilion dalam bawah belanjawan pada 2019.

Daripada RM64.1 bilion yang diperuntukkan, RM735 juta untuk kerja penyelenggaraan dan menambahbaik sekolah.

Belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng juga memperuntukkan RM783 juta lagi bagi pembaikan sekolah daif, terutama di Sabah dan Sarawak.

Sebanyak RM23 juta lain pula adalah untuk memastikan sekolah kebangsaan lebih mesra Orang Kelainan Upaya (OKU).

Tambahan RM12 juta juga dikhaskan untuk perkhidmatan utiliti, termasuk perkhidmatan pembetungan bagi 2,000 sekolah bantuan kerajaan.

Baki RM64.1 bilion pula tidak dijelaskan dalam bajet.

Page juga mempersoalkan mengapa sekolah agama dan tahfiz menerima jumlah yang besar di bawah kerja penyelenggaraan dan naik taraf, sedangkan bilang sekolah begitu lebih kecil berbanding dengan jenis sekolah lain.

Sekolah kebangsaan menerima RM300 juta bagi tujuan yang sama, sementara Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), sekolah berasrama menerima diperuntukkan RM50 juta setiap satu.

“Peruntukan bagi setiap sekolah (selepas dibahagikan) bagi sekolah agama ini akan mendapat peruntukan lebih besar berbanding SK dan SMK,” katanya.

“Kami mempersoalkan perlunya peruntukan yang tinggi untuk pelbagai jenis sekolah agama.”

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkata RM783 juta untuk membaik pulih sekolah daif sangat dialu-alukan kerana banyak sekolah menghadapi masalah penyelenggaraan seperti bumbung dan tandas yang rosak.

“Kami berharap peruntukan ini dapat meminimumkan masalah ini,” kata presidennya Aminuddin Awang.

Beliau menyedari walaupun belanjawan menyebut yang peruntukan ini difokuskan kepada sekolah di Sabah dan Sarawak, sekolah di Semenanjung Malaysia tidak akan terlepas pandang.

Jawatankuasa Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) juga memuji peruntukan RM15 juta kepada sekolah menengah Cina persendirian bagi kerja penyelenggaraan dan peningkatan.

Pengerusinya, Tan Tai Kim berkata peruntukan 2020 sebanyak lebih RM3 juta daripada tahun semasa, dan menerimanya sebagai tanda positif kerajaan terhadap pendidikan Cina.

“Tambahan 3 juta akan diagihkan secara saksama kepada semua 62 sekolah persendirian Cina di seluruh negara. Ini bermakna setiap sekolah akan mendapat kira-kira RM241,000 berbanding RM193,000 pada tahun lepas,” kata Tan. – 12 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen