
ELAUN Kenangan sekali RM500 untuk penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) diberikan hanya kepada mereka yang masih hidup dan akan diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.
Elaun ini akan dibayar selepas Kementerian Pertahanan mendapat peruntukan untuknya, walaupun ia dikuatkuasa pada 1 Januari, 2020, katanya.
“Elaun Kenangan PJM ini hanya diberikan kepada penerima PJM yang masih hidup pada tarikh elaun ini dikuatkuasakan dan akan terhenti apabila penerima PJM meninggal dunia,” katanya, dalam satu kenyataan media.
Penerima PJM yang masih berkhidmat bagaimanapun akan hanya menerima elaun berkenaan selepas tamat perkhidmatan, jelasnya.
Pemberian elaun itu diumumkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, petang tadi.
Untuk tahun depan, Kementerian Pertahanan mendapat peruntukan kelima terbesar sebanyak RM15.6 bilion, peningkatan 12% berbanding RM13.9 pada tahun ini.
Daripada peruntukan itu, RM12.5 bilion untuk belanja mengurus manakala RM3.08 bilion untuk belanja pembangunan.
“Bagi Kementerian Pertahanan, ATM dan para Veteran ATM, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada kerajaan Malaysia,” kata Mohamad.
Selain Elaun Kenangan, Belanjawan 2020 turut menyediakan peruntukan RM150 juta bagi membaiki dan menyelenggarakan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), dan Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada penerima Bantuan Harapan Negara daripada kalangan veteran ATM berpencen dan tidak berpencen. – 11 Oktober, 2019.
Komen