Sabah mahu lebih banyak peruntukan dalam Belanjawan 2020


Jason Santos

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal berkata beliau bagaimanapun mengalu-alukan peruntukan yang diberikan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2019.

KETUA Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal hari ni berkata, beliau menjangkakan peruntukan yang lebih besar untuk negeri itu dalam Belanjawan 2020.

Menurutnya, peruntukan khas sebanyak RM53.4 juta yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan belanjawan di bawah jangkaannya.

“Sabah mempunyai hak pendapatan sebanyak 40% sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan, namun sejak 1974, negeri ini hanya menerima RM26.7 juta. 

“Saya menjangkakan beberapa pelarasan, dan kiraan saya adalah sekitar RM1 bilion setahun.

“Namun ya, ekonomi kita tidak baik dan negara menanggung hutang. RM53.4 juta meningkat berbanding RM26.7 juta, walaupun ia tidak besar, ia masih boleh membantu Sabah dalam cara lain,” kata Shafie ketika menjawab pertanyaan pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2020 hari ini.

Beliau bagaimanapun mengalu-alukan peruntukan persekutuan RM5.2 bilion dalam Belanjawan 2020 untuk negeri itu.

Shafie juga berkata, negeri itu berhak untuk belanjawan besar kerana Sabah merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia dan mempunyai populasi ketiga tertinggi di negara ini.

Di bawah Belanjawan 2020, Sabah akan menerima RM5.2 bilion daripada jumlah keseluruhan RM56 bilion, manakala Sarawak akan menerima RM4.4 bilion dan Semenanjung Malaysia RM46 bilion.

Terdahulu, Lim berkata Sabah akan menerima tambahan RM53.4 juta dalam bentuk elaun khas sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Elaun itu adalah dua kali ganda berbanding jumlah RM26.7 juta yang dibayar oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini sejak 1974.

Lim juga mengumumkan jumlah itu akan digandakan dalam limtahun akan datang kepada RM108 juta. – 11 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen