MAS terkejut Bellew hendak kembali ke Ryanair


Lembaga pengarah Malaysia Airlines akan mengadakan mesyuarat berhubung berita mengejutkan CEO Peter Bellew akan menyertai Ryanair. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2017.

MALAYSIA Airlines (MAS) terkejut dengan berita yang ketua pegawai eksekutif (CEO) Peter Bellew akan menyertai kembali syarikat tambang murah Ireland, Ryanair.

Dalam satu kenyataan ringkas petang ini, MAS berkata ia ambil maklum berhubung “pengumuman yang tidak dijangka oleh Ryanair Holdings PLC kepada Bursa Saham London berkaitan CEO Peter Bellew”.

MAS berkata Bellew sudah memaklumkan komitmennya kepada MAS pada 27 September ketika ditanya adakah beliau akan kembali ke Ryanair.

“Dia (Bellew) beritahu yang dia gembira berada di Malaysia dan pemulihan Malaysia Airlines akan menjadi “pencapaian terbesar dalam hidup saya”.

“Lembaga pengarah Malaysia Airlines akan mengadakan mesyuarat dan pengumuman akan dibuat kemudian,” kata pengurus komunikasi korporatnya, Anis Dzun Nurin.

MAS berkata operasi dan perkhidmatan akan diteruskan seperti biasa dan Pelan Pemulihan MAS dilaksanakan seperti dijadualkan.

Awal hari ini Ryanair mengumumkan Bellew akan kembali ke syarikat itu sebagai ketua pegawai operasi.

Dalam kenyataan Ryanair, Bellew dipetik sebagai berkata: “Saya teruja untuk pulang kembali ke Ryanair dan bekerja dengan semua pasukan serta kru yang saya kenali untuk membangunkan pertumbuhan kita kepada 600 pesawat dalam tempoh enam tahun akan datang.”

Bellew mengambil alih tugas daripada Christoph Mueller pada Julai, 2016 selepas bekas CEO itu meletakkan jawatan dalam MAS, kurang setahun daripada kontraknya, atas alasan peribadi.

Bellew ialah CEO MAS yang ketiga dalam tempoh dua tahun selepas Mueller dan Ahmad Jauhari Yahya, yang meletakkan jawatan selepas tragedi berkembar, MH370 dan MH17 pada 2014. – 17 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen