Taufan Hagibis: Vietnam Airlines jadual semula penerbangan ke Jepun


VIETNAM Airlines telah mengumumkan bahawa ia akan menjadualkan semula penerbangannya ke dan dari Osaka, Nagoya dan Tokyo di Jepun pada 12 Oktober kerana taufan kuat Hagibis semakin menghampiri negara pulau itu, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Sehubungan itu, penerbangan pada 12 Oktober antara Hanoi/Bandar Ho Chi Minh ke tiga bandar di Jepun terbabit iaitu VN330, VN331, VN320, VN321, VN346, VN347, VN340, VN341, VN384 dan VN385, akan dijadualkan semula dalam tempoh 22 jam kemudian.

Sementara itu, syarikat penerbangan negara berkata ia akan membatalkan semua penerbangan pada 12 Oktober antara Da Nang dan Osaka (VN336 dan VN337) serta  Bandar Ho Chi Minh dan Tokyo (VN302 dan VN 303).

Penumpang yang telah menempah kesemua penerbangan itu akan menaiki pesawat pada hari berikutnya.

Penumpang boleh melayari laman sesawang syarikat penerbangan itu di www.vietnamairlines.com, laman Facebook www.facebook.com/VietnamAirlines dan menghubungi pejabat tiket di seluruh negara atau perkhidmatan pelanggan 1900 1100 (dalam negara) atau +84 24 38320 320 (di luar negara) untuk maklumat lanjut. – Bernama, 11 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen