Belanjawan 2020: Maju dengan kemakmuran bersama


The Malaysian Insight

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Timbalannya Dr Wan Azizah Ismail bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng serta jemaah menteri lain selepas pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 11 Oktober, 2019.

BELANJAWAN 2020 yang dibentang Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini cuba mengangkat semangat kemakmuran bersama dengan pelbagai usaha menangani pelbagai aspek jurang ekonomi dan pada masa sama, mempersiapkan Malaysia meneroka masa depan dengan sumber ekonomi baharu.

Dalam pembentangannya, Lim berkata kerajaan akan meneruskan matlamat Wawasan 2020 dengan trajektori pertumbuhan baharu berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan perdana menteri baru-baru ini.

Belanjawan 2020 ini mahu menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, terutama dari China selain menarik pelaburan asing dalam bidang ekonomi digital.

Untuk memajukan ekonomi digital, kerajaan menyediakan insentif RM1 bilion setahun sehingga 2025 untuk menarik pelaburan daripada syarikat Fortune 500 dan unicorn global (syarikat rintisan bernilai lebih RM4 bilion) dalam teknologi tinggi, pembuatan, kreatif dan ekonomi baharu.

Insentif diberikan kepada pelaburan sekurang-kurangnya RM5 bilion di Malaysia, yang seterusnya akan mewujudkan peluang 150,000 peluang pekerjaan kemahiran tinggi.

Pembangunan digital

Belanjawan ini juga meningkatkan keupayaan digital di seluruh Malaysia antaranya melalui 

Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dengan kerjasama kerajaan dan swasta yang melibatkan pelaburan keseluruhan RM21.6 bilion sehingga 2025.

Kerajaan juga menyediakan pelbagai insentif untuk membangunkan syarikat digital tempatan dengan beberapa kemudahan geran memajukan perniagaan mereka. 

Antaranya, geran pembangunan ekosistem 5G, geran padanan secara bidaan sebanyak RM25 juta dan geran RM20 juta kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk membangunkan kandungan digital.

Belanjawan 2020 juga menyediakan pelbagai insentif untuk golongan wanita dan belia masuk ke pasaran kerja.

Keseluruhannya RM6.5 bilion diperuntukkan sehingga 2025 yang akan mencipta peluang pekerjaan kepada 350,000 orang, yang seterusnya akan mengurangkan tenaga kerja asing sehingga 130,000 orang.

Hadiah B40

Belanjawan 2020 ini, sama seperti yang sebelumnya, terus memberikan perhatian kepada golongan berpendapatan rendah, daripada petani dan nelayan di luar bandar serta miskin relatif di bandar.

Bagi meningkatkan infrastruktur luar bandar, kerajaan menyediakan RMM587 juta untuk projek bekalan air, RM500 juta untuk kemudahan elektrik, serta RM85 juta untuk pembangunan dan baik pulih infrastruktur di kampung baru.

Dalam ucapannya, Lim turut membentangkan cadangan kewangan pelaksanaan subsidi petrol bersasar, yang diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution, awal minggu ini, dengan kos RM2.2 bilion.

Kerajaan juga mahu memperluaskan Bank Makanan ke seluruh negara dengan peruntukan RM25 juta. – 11 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen