PRESIDEN Rodrigo Duterte mengisytiharkan Bandar Marawi kini bebas daripada pengganas selepas hampir lima bulan pertempuran berlaku, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan media Filipina.
Televisyen rakyat milik kerajaan melaporkan Duterte mengisytiharkan Marawi berjaya dirampas semula daripada pelampau pro-IS.
Satu lagi saluran berita tempatan, ANC pula memetik Duterte sebagai berkata: “Saya dengan ini mengisytiharkan bahawa Bandar Marawi bebas daripada pengganas.”
Istana presiden Malacanang belum mengeluarkan sebarang pengesahan rasmi. Menurut laporan berita, Duterte tiba di Marawi hari ini untuk mengucapkan tahniah kepada pasukan keselamatan Filipina kerana berjaya merampas semula bandar itu daripada pelampau pro-IS.
“Tindakan kami mengisytiharkan pembebasan Marawi adalah satu kenyataan strategik untuk memberitahu dunia bahawa peperangan dengan IS sudah berakhir,” kata Kolonel Romeo Brawner, seorang daripada komander tentera di lokasi, kepada pemberita di Marawi.
Bagaimanapun, Brawner berkata operasi pembersihan akan diteruskan kerana anggota militan yang berundur telah meninggalkan peranti bahan letupan yang diubah suai (IED) serta ordinan tidak meletup di kawasan terbabit.
Duterte membuat kenyataan itu sehari selepas Isnilon Hapilon, yang dikatakan pemimpin IS di Asia Tenggara, dan Omarkhayam Maute terbunuh.
Pada awal pagi Isnin, tentera kerajaan berjaya membunuh kedua-dua pemimpin utama IS itu yang mengetuai pelampau jihad ketika menawan Bandar Marawi pada 23 Mei.
Pertempuran itu berlarutan selama hampir lima bulan dan meragut nyawa lebih 1,000 orang termasuk lebih 800 pelampau serta 162 anggota tentera dan polis.
Konflik 148 hari itu turut menyingkirkan lebih 200,000 penduduk dan kira-kira 300,000 lagi di luar Bandar Marawi, ibu negara wilayah Lanao del Sur.
Pihak tentera berkata sekurang-kurangnya 47 orang awam dibunuh oleh pengganas.
Jabatan Kesihatan pula berkata pada Julai lepas, sejumlah 40 orang awam meninggal dunia akibat penyakit di pusat pemindahan yang dikendalikan oleh kerajaan di wilayah berhampiran.
Ribuan mangsa masih ditempatkan di semua pusat terbabit. – Bernama, 17 Oktober, 2017.
Komen