Puluhan aktivis iklim ditahan dalam tunjuk perasaan di New York 


Sekurang-kurangnya 62 orang telah ditahan kerana melakukan tindakan keingkaran awam, menurut polis.– Gambar EPA, 11 Oktober, 2019.

LEBIH 60 orang ditahan pada Khamis semasa tunjuk perasaan perubahan iklim apabila kumpulan itu menduduki satu persimpangan di Times Square dan menghalang lalu lintas berbatu-batu panjangnya, lapor agensi berita China Xinhua.

Berpuluh-puluh penunjuk perasaan memakai jaket keselamatan berwarna jingga dan duduk di atas tanah di dataran di pusat bandar Manhattan pada Khamis pagi dengan dikelilingi sebuah bot hijau yang tertera perkataan “Act Now” pada badannya.

Sesetengahnya memegang poster “Climate Emergency” dan “No More Business As Usual.”

Berlaku di lokasi yang digelar sebagai “Persimpangan Dunia,” tunjuk perasaan itu menghalang lalu lintas dari pelbagai hala, menyebabkan kekecohan berlaku di destinasi tarikan pelancong yang sudah sedia sesak.

Sekurang-kurangnya 62 orang telah ditahan kerana melakukan tindakan keingkaran awam, menurut polis.

Anjuran kumpulan Extinction Rebellion yang berpangkalan di United Kingdom, tunjuk perasaan itu dikatakan akan berlangung selama dua minggu di berpuluh-puluh bandar di seluruh dunia.

Pada Isnin, penunjuk perasaan daripada kumpulan sama mengadakan perarakan di daerah kewangan di pusat bandar Manhattan, melakukan tunjuk perasaan dengan berbaring di atas jalan raya dan mencurahkan darah tiruan ke atas ukiran gangsa patung lembu dikenali sebagai Charging Bull di Wall Street. Lebih 90 orang ditahan pada hari itu. – Bernama, 11 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen