DUA beradik yang meloloskan diri daripada sekatan setelah melanggar seorang anggota polis di Bandar Sunway, Subang Jaya semalam, disyaki terlibat dalam pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang, kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din.
Kedua-dua beradik yang dikenali sebagai S K Navin Kumar, 22, dan S K Danesh Kumar, 21, mempunyai rekod jenayah yang berkaitan dadah.
Mohd Zani berkata dalam kejadian kira-kira pukul 8.00 malam tadi, polis mengekori kereta Myvi yang dinaiki dua beradik itu dari kawasan Desa Ria, Sungai Way dan menahan kereta itu di Bandar Sunway, Subang Jaya.
“Bagaimanapun mereka memecut lalu melanggar seorang anggota polis di tempat kejadian menyebabkan polis terpaksa melepaskan empat das tembakan ke arah kereta dinaiki mereka tetapi kedua-dua mereka dapat melarikan diri,” katanya kepada pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di Petaling Jaya hari ini.
Anggota polis yang dilanggar itu cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Mohd Zani berkata siasatan awal polis mendapati kereta yang dinaiki dua beradik itu adalah kereta curi dan nombor plat yang digunakan tidak didaftar.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua beradik itu diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – Bernama, 11 Oktober, 2019.
Komen